
BARIO: Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala merakamkan penghargaan kepada pihak Syarikat Pertama FerroAlloy atas komitmen mereka dalam menyumbang semula kepada komuniti melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Program Gotong-Royong CSR oleh syarikat tersebut bagi kerja-kerja mengecat semula Lepo Rurum, sebuah pusat komuniti penting di Bario, hari ini.
“Program ini bukan sahaja memperindah dan menyelenggara kemudahan komuniti seperti Lepo Rurum, tetapi yang lebih penting, menyemai semangat gotong-royong dan kebersamaan antara syarikat dan masyarakat setempat,” ujarnya.
Menurut beliau, Lepo Rurum berperanan sebagai pusat pertemuan, perbincangan, dan pelbagai aktiviti sosial serta kebudayaan masyarakat, khususnya menjelang Pesta Nukenen dan Kebudayaan Bario yang bakal berlangsung dari 24 hingga 26 Julai ini.

Beliau turut menegaskan kepentingan menjaga dan menyelenggara kemudahan awam tersebut demi menjamin keselesaan dan kelestarian jangka panjang.
“Saya sangat berbangga melihat kolaborasi antara sektor swasta dan komuniti seperti ini yang memberikan impak terus kepada rakyat,” katanya.
Tambah beliau, inilah contoh sebenar pendekatan keseluruhan masyarakat (whole-of-society approach) yang perlu digalakkan, di mana semua pihak memainkan peranan dalam pembangunan luar bandar.
Gerawat turut menyatakan harapan agar program ini menjadi permulaan kepada lebih banyak kerjasama CSR antara Syarikat Pertama FerroAlloy dan komuniti Mulu, khususnya dalam bidang pendidikan, kemudahan asas, pemerkasaan belia dan pemeliharaan alam sekitar.
“Kepada penduduk Bario dan semua yang terlibat, syabas dan tahniah atas semangat gotong-royong yang tinggi,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah wakil Lembaga Pengarah Syarikat Pertama FerroAlloy Sdn Bhd, Yuki Nakamura.
Oleh Jiku Juguong