
LONDON: Cef selebriti terkenal, Gordon Ramsay, mendedahkan bahawa beliau telah menjalani rawatan untuk membuang kanser kulit jenis karsinoma sel basal, iaitu sejenis kanser bukan melanoma yang lazimnya mudah dirawat.
Ramsay, 58, berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran di Instagram pada Sabtu, sambil mengucapkan penghargaan kepada pasukan perubatan atas tindakan pantas dan profesional mereka. Beliau turut memuat naik gambar sisi wajahnya yang menunjukkan kesan rawatan di bawah telinga.
“Saya amat bersyukur dan menghargai tindakan pantas pasukan perubatan. Dan tidak, ini bukan pembedahan tarik muka – kalau ya, saya nak minta bayaran balik!” katanya berseloroh.
Dalam hantaran tersebut, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak lupa memakai pelindung matahari, terutamanya ketika berada di bawah cuaca panas terik.
Susulan pendedahan itu, Ramsay menerima pelbagai mesej sokongan daripada warganet, termasuk selebriti seperti personaliti TV Robert Rinder. Cancer Research UK turut menyampaikan penghargaan kepada beliau kerana membantu meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari.
Menurut Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), kanser kulit bukan melanoma lazimnya berpunca daripada pendedahan berpanjangan kepada sinaran ultraungu (UV) sama ada daripada cahaya matahari mahupun penggunaan katil penyamakan. Antara simptom utama termasuk ketumbuhan atau tompokan luar biasa pada kulit, terutamanya di kawasan terdedah seperti muka, leher dan tangan.
NHS turut menasihati orang ramai agar melindungi kulit dengan cara mencari tempat teduh, memakai pakaian pelindung, dan menyapu pelindung matahari secara berkala.
Gordon Ramsay dikenali ramai menerusi rancangan popular seperti Hell’s Kitchen dan Ramsay’s Kitchen Nightmares, selain memiliki rangkaian restoran bertaraf Michelin di seluruh dunia. – Agensi