
SARIKEI: Penganjuran majlis Gong Xi Raya anjuran Majlis Daerah Sarikei (MDS) sekali lagi membuktikan bahawa semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum terus menjadi tunjang kekuatan rakyat Sarawak.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata ia mencerminkan keunikan masyarakat majmuk yang hidup dalam suasana saling menghormati dan bekerjasama.
“Majlis seperti ini amat signifikan kerana ia mencerminkan keunikan dan kekuatan masyarakat kita yang berbilang kaum, budaya dan agama.
“Sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri yang diraikan bersama-sama membuktikan bahawa semangat perpaduan dan keharmonian sentiasa menjadi tunjang utama dalam kehidupan kita di Malaysia secara amnya dan Sarikei secara khasnya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Yusuf Abd Wahab selaku wakilnya bertempat di Dewan Sentral Sarikei semalam.
Beliau turut melahirkan rasa gembira melihat kehadiran masyarakat pelbagai latar belakang yang hadir dengan semangat muhibah dan kebersamaan.
“Inilah gambaran sebenar rakyat Malaysia yang saling hormat-menghormati, memahami dan menerima kepelbagaian sebagai satu kekuatan, bukan perbezaan.
“Setinggi penghargaan diucapkan kepada warga kerja MDS atas usaha menganjurkan majlis pada malam ini.
“Penganjuran seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara warga kerja, malah turut memperkukuhkan hubungan antara pihak majlis dengan masyarakat setempat,” katanya.
Tiong Sii turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang menyertai pertandingan bertuntung sempena sambutan Aidilfitri yang dianjurkan dengan penyertaan menggalakkan daripada komuniti setempat.
“Terdapat tiga kategori yang dipertandingkan, iaitu kategori pintu gerbang yang mempunyai tujuh penyertaan, kategori tradisional dengan empat belas penyertaan dan kategori moden yang mempunyai penyertaan yang tertinggi iaitu dengan empat puluh satu penyertaan.
“Saya juga berharap agar semangat kebersamaan ini akan terus dipupuk dan diperkasakan.
“Dalam menghadapi cabaran masa kini, perpaduan adalah asas penting untuk memastikan pembangunan daerah dan kesejahteraan rakyat dapat dicapai secara menyeluruh dan berterusan,” katanya.
Turut hadir Pengerusi MDS, Konselar Stephen Wong Kie Yong; Timbalan Pengerusi MDS, Konselar Misiah Abu Seman dan Setiausaha MDS, Lolita Jaime Nicholas.
Oleh Earl Anek