TERIMA KASIH… Dato Sri Lee Kim Shin menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penderma
darah di Dewan Latihan PBSM Cabang Miri di Miri.
MIRI: Golongan muda digalakkan menderma darah bagi memastikan bekalan darah di Tabung Darah Hospital Miri sentiasa mencukupi.
Naib Pengerusi Pertama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cabang Miri yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ini kerana seorang penderma darah apabila mencapai umur 60 ke atas tidak digalakkan atau diterima untuk menderma darah.
“Jadi kita memerlukan penderma darah yang muda. Apa yang saya sangat gembira melihat pagi ini (semalam) ialah ada juga pasangan kekasih kali pertama menderma darah sebagai cara menyampaikan kasih sayang mereka kepada masyarakat yang memerlukan darah dan ini adalah satu usaha yang sangat disanjung tinggi.
“Selain itu, saya juga menemuduga penderma di sini yang mana seorang ibu membawa anaknya untuk menderma darah dan anaknya juga merupakan penderma kali pertama.
“Ini yang kita harapkan agar lebih ramai lagi orang muda tampil menderma darah,” katanya.
Kim Shin berkata demikian pada Kempen Derma Darah anjuran PSBM Cabang Miri dengan kerjasama dua Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu ‘Moving Communities Team’ dan Persatuan India Miri yang diadakan di Dewan Latihan PBSM di sini, semalam.
Kempen derma darah ini diadakan bersempena Hari Kekasih yang disambut hari ini (14 Februari) dengan tema ‘Share Love,Share Blood’.
Kim Shin berkata, aktiviti menderma darah perlu berterusan bagi memastikan bekalan darah Hospital Miri sentiasa mencukupi.
“Selain untuk keperluan pesakit Hospital Miri, bekalan darah turut dihantar ke hospital di Marudi,Limbang dan Lawas untuk keperluan rawatan pesakit di kawasan itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada penganjur dan penderma darah di sini yang memastikan bekalan darah berterusan dan mencukupi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Merekrut Penderma Darah, Karambir Singh.
Oleh LIONG CHAI LING