
LIMBANG: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu peka dengan muslihat sindiket penipuan bagi memperdaya masyarakat setempat terutama golongan muda.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata golongan muda juga perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan sebarang penipuan yang berlaku di media sosial.
“Kita minta JKKK di peringkat kampung termasuk ibu bapa untuk sentiasa mengawasi anak-anak kita agar tidak terjebak dengan sebarang kegiatan dan sindiket yang boleh memperdaya mereka untuk ke luar negara dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Kerajaan kepada JKKK Kampung di Dewan KEMAS pada petang tadi.
Hasbi juga mahu JKKK sentiasa memenuhi surau dan masjid dengan aktiviti keagamaan dan program kemasyarakatan lain bagi mengelak rumah ibadat itu sunyi.
Malahan JKKK disaran bergandingan erat dengan ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan surau untuk mempelbagaikan lagi aktiviti yang boleh menarik minat umat Islam khususnya golongan muda mengimarahkan rumah ibadat itu.
Malah katanya, kerajaan sentiasa menyokong dan mengalu-alukan sebarang usaha sedemikian.
Pada majlis itu sejumlah RM180,000 peruntukan disalurkan kepada 45 buah perkampungan Islam di daerah ini.
Terdahulu pada Sabtu lepas, ahli keluarga dua rakyat Sarawak masing-masing berasal dari Limbang melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan anak mereka yang dipercayai berada di London.
Keberadaan Cathilyenn Santa Liong Siu Zhen 24 dan Muhamad Izzat Asnawai 21, di London sejak Sabtu lepas turut disahkan oleh polis berdasarkan tempahan tiket ke negara itu melalui hantaran e-mel milik Izzat.
Susulan itu, keluarga masing-masing memohon bantuan pelbagai pihak demi keselamatan anaknya selain meminta anaknya pulang kepangkuan mereka dengan selamat.
Sebelum ini kehilangan Izzat dan rakan perempuannya tular dalam media sosial selepas keluarga mereka memohon bantuan bagi mengesan kehilangan mereka.
Kedua-dua mereka kali terakhir dikesan berada di kawasan Horizon Suites, Selangor Sabtu lepas dan tidak dapat dihubungi sejak 10 malam pada hari yang sama.
Dua laporan polis telah dibuat terhadap kehilangan mereka.
Oleh Adeng Idrus