
KABONG: Pasukan bomba sukarela tidak seharusnya bergantung kepada keanggotaan sedia ada semata-mata, sebaliknya perlu melahirkan lebih ramai ahli baharu khususnya dalam kalangan golongan muda bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan sukarela.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, penglibatan generasi muda amat penting bagi memastikan pasukan terus relevan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa depan.
Menurut beliau, suntikan tenaga baharu bukan sahaja dapat memperkukuh keupayaan operasi, malah menjamin kesinambungan khidmat kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri serta Majlis Simbolik Penyerahan Peralatan Persatuan Bomba Sukarela Daerah Kabong, dekat sini semalam.


Dalam majlis tersebut, turut diadakan simbolik penyerahan pelbagai peralatan bagi memperkukuhkan lagi keupayaan operasi pasukan.
Antara peralatan yang disampaikan ialah baju buang tebuan (serangga berbisa), penyepit ular, baju-T bomba, topi, jaket keselamatan, mesin gergaji, bot dan enjin bot.
Chee Kadir turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pasukan bomba sukarela yang berjaya menganjurkan majlis berkenaan dengan jayanya.
Menurut beliau, penganjuran dua program serentak itu membuktikan bahawa pasukan tersebut bukan sahaja aktif dalam menjalankan tugas penyelamatan, malah berperanan penting dalam mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menyifatkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kabong sebagai antara pasukan paling aktif dan membanggakan di Sarawak kerana sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dalam pelbagai situasi kecemasan dengan keberanian tinggi.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan khas kepada Penghulu Rahman @ Dom Kapok atas komitmen sebagai penggerak utama persatuan sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat negeri.
Tambahnya, pihak ibu pejabat bomba disaran meneliti keperluan serta kekurangan peralatan pasukan bomba sukarela agar perkhidmatan dapat dipertingkatkan dengan lebih berkesan.
Selain itu, cadangan turut dikemukakan supaya satu lokasi khas dikenal pasti sebagai pusat operasi yang lebih tersusun bagi memudahkan pengurusan serta penyelarasan operasi pasukan.
Sebagai wakil rakyat, beliau menegaskan komitmen berterusan untuk menyokong usaha memperkasa pasukan bomba sukarela serta menghargai jasa dan pengorbanan mereka kepada masyarakat Kabong.
Oleh Adi Safarman