KENANGAN… Datuk Sharifah Hasidah merakamkan gambar bersama anggota daripada agensi yang terlibat dan para peserta pada Majlis Penutupan Program ‘Let’s Talk with Wanita PEMADAM’ sempena Hari Anti Dadah PEMADAM Negeri Sarawak di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya, di Kuching.
KUCHING: Golongan bekerja mencatatkan peratusan tertinggi yang terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah di negara ini berbanding golongan yang menganggur.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Kerajaan Negeri – Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, peratus golongan yang bekerja yang terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah adalah melebihi 52 peratus.
“Daripada jumlah tersebut, 24.6 peratus merupakan pekerja swasta dan 0.8 peratus merupakan pekerja kerajaan, manakala 12 peratus ialah pekerja sendiri dan sebanyak 14 peratus yang terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah ialah mereka yang bekerja dalam bidang buruh.
“Selain itu, berdasarkan statistik, sebanyak 95,500 penagih dadah direkodkan di Malaysia yang mana ia merupakan satu angka yang besar dan merisaukan.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 91,456 orang atau 96 peratus daripadanya ialah golongan lelaki dan 4,032 orang atau 4.2 peratus daripadanya ialah wanita,” ujarnya pada Majlis Penutupan Program ‘Let’s Talk With Wanita PEMADAM’ sempena Hari Anti Dadah PEMADAM Negeri Sarawak di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya, di sini, semalam.
Sementara itu, beliau berkata, kolaborasi yang strategik antara pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia (PEMADAM) perlu terus dijalin dalam usaha mencapai visi PEMADAM iaitu ‘masyarakat Malaysia bebas daripada ancaman dadah menjelang 2030’.
Jelasnya, kolaborasi strategik tersebut juga perlu melibatkan para Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam mendekati masyarakat dengan melaksanakan pelbagai program untuk berkongsi pengetahuan mengenai bahaya dadah.
“Dari segi golongan umur, golongan belia yang berumur 19 hingga 39 tahun merupakan golongan paling banyak terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah iaitu sebanyak 51, 851 orang atau 65 peratus dan ia menimbulkan kerisauan kerana golongan belia merupakan aset dan masa depan negara.
“Justeru, golongan wanita khususnya seperti biro wanita dalam PEMADAM ini perlu bertindak aktif kerana wanita memainkan peranan sebagai ibu, kakak atau adik kepada golongan belia ini.
“Selain itu, sekiranya sedar bahawa terdapat ahli keluarga yang mempunyai kelakuan pelik, kita perlu bertindak dengan segera untuk melaporkannya kepada pihak yang berwajib. Ia bukan untuk merosakkan mereka namun untuk memulihkan mereka agar tidak menjadi lebih kronik,” katanya.
Tambahnya, golongan umur yang mencatat peratus tertinggi terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah ini ialah golongan dewasa yang berusia 40 tahun ke atas iaitu sebanyak 33 peratus diikuti golongan remaja (1.3 peratus), manakala dua orang terdiri daripada golongan berusia tujuh hingga 12 tahun.
Oleh RYNNA SHA’ERRA