MATU: Pusat Khidmat Parlimen Igan melaksanakan penghantaran bantuan bakul makanan kepada golongan asnaf seluruh Daerah Matu dan Daerah Kecil Igan bermula semalam.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi turun padang untuk menyerahkan bantuan tersebut kepada para penerima di kawasan terbabit.
Katanya, penghantaran bantuan untuk kira-kira 750 penerima itu bermula pagi semalam dan akan diteruskan sehingga selesai esok.
“Pusat Khidmat Parlimen Igan juga akan memberi bantuan tersebut kepada sesiapa yang merasakan masih memerlukan di Daerah Matu dan Daerah Kecil Igan,” jelasnya.
Bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri Daro, katanya, beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Daro, Safiee Ahmad akan memberikan bantuan makanan yang serupa kepada sesiapa yang masih memerlukannya.
“Sehubungan itu, saya memohon agar mereka yang berkenaan memberikan nama kepada Ketua Kaum, Kapitan atau Penghulu di kampung masing-masing untuk tindakan selanjutnya,” ujar beliau.
Beliau berharap bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 12 Mei depan.
“Saya memohon agar bersama-samalah kita menghulurkan bantuan khususnya pada bulan Ramadan yang mulia ini. Semoga kita akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah SWT,” ujarnya.