
Jota mengakui bangga dapat menyumbang kepada pasukan.
LONDON: Diogo Jota mendedahkan makna emosional di sebalik gol terakhirnya bersama Liverpool dalam satu temu bual menyentuh hati sebelum dia maut secara tragis dalam kemalangan jalan raya.
Jota dan adiknya, Andre Silva maut selepas kereta Lamborghini yang dinaiki terbabas di utara Sepanyol pada 3 Julai lalu.
Penyerang Portugal itu dalam perjalanan pulang ke England untuk memulakan latihan pramusim selepas membantu Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.
Gol terakhir Jota untuk Liverpool hadir menerusi jaringan kemenangan penting dalam pertemuan musuh tetangga Merseyside menentang Everton di Anfield pada April.
Bercakap dalam satu temu bual beberapa minggu sebelum pemergiannya, Jota mengakui berasa bangga dapat menyumbang kepada pasukan bimbingan Arne Slot dengan menjaringkan gol dalam perlawanan sepenting itu.
“Ia musim yang amat sukar untuk saya tetapi saya sentiasa berjuang dan saya dapat membantu pasukan pada hari itu. Saya bangga dengan apa yang masih mampu saya lakukan,” katanya dalam dokumentari bertajuk “Champions 24-25: The Inside Story”.
“Sukar untuk digambarkan. Itulah perasaan yang saya cari apabila bermain bola sepak, itulah sebabnya anda mencurahkan seluruh hidup dan usaha untuk detik seperti itu, detik yang mana anda boleh menentukan kemenangan dalam perlawanan penting,” katanya.
Jota, 28, beraksi selama lima tahun bersama Liverpool selepas menyertai kelab itu dari Wolves pada 2020.
Sepanjang tempoh itu, dia memenangi EPL, Piala FA dan Piala Liga.
“Ia sesuatu yang saya tidak pernah impikan sewaktu kecil. Saya mahu bermain di Liga Perdana tetapi tidak pernah terbayang untuk memenanginya,” katanya mengenai kejayaan bersama Liverpool.
“Gambar-gambar itu akan terus dikenang selama-lamanya. Ia satu pencapaian luar biasa bagi seorang lelaki kecil dari Gondomar, yang mana saya mula memupuk impian ini.”
Liverpool menamatkan penggunaan jersi nombor 20 miliknya dan mengumumkan akan membina arca kekal Jota di luar Anfield, manakala mural wajahnya sudah menghiasi dinding bangunan berdekatan stadium. – AFP