
KUCHING: Usaha memperkasa sokongan terhadap kanak-kanak pesakit kanser terus dipergiat menerusi kempen GoBald 2026 yang menyasarkan kutipan dana RM1 juta serta penyertaan 300 individu, sebagai simbol solidariti masyarakat.
Presiden Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS), Mary Kiu Ai Ying, menjelaskan pelancaran kempen itu bukan sekadar menandakan permulaan satu lagi usaha kutipan dana, sebaliknya menjadi simbol kekuatan apabila masyarakat bersatu atas dasar keprihatinan dan tujuan yang sama.
Beliau mendedahkan tema tahun ini, ‘Menyemai Harapan Bersama’ mencerminkan semangat kebersamaan dalam menyokong kanak-kanak yang sedang berjuang melawan kanser.

“Kita menyemai harapan ini bukan untuk diri kita sahaja, tetapi untuk anak-anak, para penjaga dan keluarga mereka. Inilah makna sebenar GoBald,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran kempen GoBald 2026, di Pejabat Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS), hari ini.
Dalam pada itu, Mary turut menzahirkan rasa terharu terhadap keberanian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh peserta seperti Orai Goper yang mengenang cucunya, mendiang Edeva, serta Fidelis George yang terus konsisten menyokong perjuangan SCCS.
“Tindakan mereka mengingatkan kita semua mengapa kempen ini sangat penting. Ini adalah suara kita bersama dalam memperjuangkan nasib anak-anak ini,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa tahun ini amat bermakna buat SCCS kerana pertubuhan itu meraikan ulang tahun ke-25 sejak ditubuhkan pada 2001.
Sepanjang tempoh tersebut, SCCS telah membantu lebih 1,800 keluarga di seluruh Sarawak, bermula daripada usaha kecil sehingga berkembang menjadi sistem sokongan menyeluruh merangkumi keperluan perubatan, emosi dan kebajikan keluarga pesakit.

Menurutnya, kempen GoBald kini bukan sekadar platform kutipan dana, malah telah menjadi gerakan solidariti yang menyatukan masyarakat dalam membantu golongan memerlukan.
“Dana yang dikumpul setiap tahun membolehkan kami memperluaskan perkhidmatan termasuk menyediakan sokongan kepada penjaga serta kemudahan seperti rumah transit untuk keluarga pesakit.
“Tempat ini menjadi ruang selamat untuk mereka berehat, mendapatkan kekuatan dan menghadapi cabaran sepanjang rawatan anak-anak,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui keperluan semakin meningkat apabila lebih ramai keluarga tampil mendapatkan bantuan setiap tahun.
Mary menegaskan bahawa penyertaan dalam GoBald bukan sekadar mencukur rambut, tetapi simbol sokongan dan usaha bersama dalam membawa perubahan kepada kehidupan pesakit kanser kanak-kanak.
Oleh Adele Rissa