
KUCHING: Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) menggesa Jabatan tenaga Kerja (JTK) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk melaksanakan siasatan ke atas syarikat yang dilaporkan ‘menganiaya’ sekumpulan pengamal media dalam talian atau portal berita baru-baru ini.
Presiden GKMM, Mohamad Fauzi Ishak menerusi satu kenyataan berkata syarikat berkenaan yang didakwanya telah membuat potongan gaji bulanan mereka bagi tujuan pembayaran untuk caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Potongan Cukai Bulanan (PCB) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Bagaimanapun, katanya potongan pembayaran caruman itu masih belum dijelaskan kepada agensi berkenaan hingga hari ini.
”Tindakan ini jelas satu bentuk pencabulan terhadap hak pekerja dan ia sama sekali tidak wajar untuk terus dibiarkan.
”Lebih kesal lagi, kegagalan melunaskan potongan pembayaran caruman kepada KWSP, LHDN dan PERKESO sudah dilakukan berulang kali seperti didakwa pekerja mereka, mengakibatkan pekerja terpaksa menanggung beban berganda, termasuk kesukaran untuk membuat pinjaman kepada institut perbankan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menuntut syarikat berkenaan supaya tampil memberi penjelasan kepada semua pengamal media yang terjejas.
Tegasnya, GKMM mengesyorkan pengamal media terjejas ini untuk memulakan tindakan perundangan ke atas semua pihak yang dipertanggungjawabkan termasuk pemilik syarikat berkenaan sekiranya tiada sebarang tindakan diambil oleh syarikat tersebut.
”Sikap syarikat media sebegini yang tidak mengambil berat serta mengendahkan nasib dan kebajikan kakitangannya tidak wajar dibiarkan terus beroperasi di negara ini.
”Hal ini kerana ia hanya akan menjejaskan nasib pekerja dan lebih memalukan, reputasi profesion kewartawanan turut terjejas,” tambahnya.