BINIAM Girmay memenangi peringkat ke-10 Giro d’Italia semalam untuk mencipta sejarah sebagai pelumba kulit hitam Afrika pertama menang dalam tiga jelajah besar dunia.
Pelumba dari Eritrea berusia 22 tahun itu terbukti terlalu kuat untuk peserta dari Belanda Mathieu van der Poel, yang mengangkat tangannya sebagai tanda mengaku kalah selepas bergelut panjang menuju ke garisan penamat di Jesi.
Van der Poel memeluk Girmay di garisan penamat selepas menunjukkan isyarat bagus sambil menyaksikan pesaingnya memecut untuk meraih kemenangan.
Dia kini menduduki tempat kedua dalam perlumbaan mata pecut hanya tiga mata di belakang pelumba dari Perancis, Arnaud Demare dengan 151 dengan Van der Poel ketiga ketinggalan 58 mata di belakang.
Pengarah sukan Intermarche, Valerio Piva berkata kemenangan itu merupakan mercu tanda untuk sukan berbasikal.
“Ini adalah detik besar, satu lagi benua yang tiba di tempat kejadian yang akan menjadi penting pada masa depan,” katanya.
Walaupun pemenang pelbagai jelajah Chris Froome dilahirkan di Kenya dan Daryl Impey dari Afrika Selatan telah memenangi peringkat, Girmay merupakan orang kulit hitam Afrika pertama yang berjaya melakukannya.
“Saya menonton Giro sebagai seorang kanak-kanak di televisyen dan kemudian keluar menunggang dengan impian untuk mengambil bahagian suatu hari nanti,” kata Girmay.
“Kami menulis sedikit sejarah setiap hari.
“Saya sangat gembira dengan apa yang saya lakukan hari ini, saya tidak mempunyai kata-kata untuk menggambarkannya. Terima kasih kepada pasukan saya yang mengawal perlumbaan dari awal,” tambahnya.
Girmay, yang menunggang untuk pasukan Intermarche, memberi isyrat usianya semakin meningkat pada bulan Mac apabila dia menjadi orang Afrika pertama yang memenangi pertandingan klasik sehari di Gent-Wevelgem, ketika masih berusia 21 tahun.
Dia mula menarik perhatian di kejohanan dunia apabila dia menjadi lelaki kulit hitam Afrika pertama yang muncul di podium apabila dia mendapat tempat kedua dalam acara bawah 23 tahun dalam acara 2021 di Belgium.
Dia telah pun meraih lapan kemenangan sejak menjadi profesional pada 2020.
Juan Pedro Lopez penunggang pasukan Trek dari Sepanyol mengekalkan kedudukan pendahulu keseluruhan apabila pencabar utama dalam kedudukan keseluruhan semuanya menamatkan perlumbaan dalam kelompok yang sama. – AFP