SELEPAS Ratu Terjun Negara, Pandelela Rinong mencipta nama apabila berjaya meraih pingat emas pada Kejohanan Dunia Terjun FINA yang berlangsung di Tokyo dua bulan lalu, kini giliran atlet Paralimpik angkat berat kebangsaan, Bonnie Bunyau Gustin pula mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia.
Ia berikutan apabila Bonnei menampilkan pencapaian luar biasanya dengan menjualang pingat emas pada Kejohanan 11th Fazza Para Powerlifting World Cup di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), kelmarin.
Lebih bermakna, angkatan yang dilakukannya seberat 230 kilogram (kg) dalam kategori lelaki atas 72 kg itu merupakan rekod dunia terbaharu.
Ia sekali gus membawa tonik terbaik buat Bonnie sebelum menuju ke Sukan Paralimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 September ini.
Pada kejohanan itu, atlet kelahiran dari Sarawak berusia 22 tahun itu dilihat tidak berdepan kesukaran bagi melakukan angkatan pertama dengan bebanan 210kg sebelum melepasi 221kg pada angkatan kedua.
Bonnie dilihat cuba memperbaharui rekod dunia dengan angkatan 230kg pada angkatan ketiga, namun ia dibatalkan.
Bagaimanapun, dia dilihat tidak berputus asa dan berjaya melakukan angkatan sekali lagi sekali gus memecahkan rekod dunia yang sebelumnya dipegang oleh Rustami dengan angkatan 229kg semasa kejohanan Para Asia Jakarta 2018.
Kejayaan itu merupakan persiapan terbaik buatnya sebelum turun menyertai Temasya Paralimpik Tokyo yang membuka tirai 24 Ogos hingga 5 September depan.
Tempat kedua acara berkenaan diraih pemenang pingat perak Paralimpik Rio, Hu Peng dari China yang melakukan angkatan 214kg, manakala gangsa menjadi milik atlet Nigeria, Ndamdi Innocent (213kg).
Sebelum ini, pada bulan lalu Bonnie turut merangkul emas di Piala Dunia Powerlifting Para di Bangkok, Thailand.
Malah, Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan pencapaian yang dilakukan Bonnie adalah prestasi yang sangat luar biasa lebih-lebih lagi berjaya memecahkan rekod dunia
“Tahniah diucapkan kepada atlet Powerlifting Para kita, Bonnie Bunyau Gustin yang telah memecah rekod dunia dalam kategori Lelaki 72kg di Kejohanan Piala Dunia Dubai Ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) tempoh hari.
“Bersama-sama kita mengucapkan syabas kepada Bonnie yang sebelum ini telah memenang pingat emas buat negara dalam acara sama pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia yang berlangsung di Bangkok, Thailand Mei lalu.
“Dia muncul juara sekali lagi dalam kejohanan ini setelah melakukan angkatan bebanan seberat 226kg selain mengalahkan atlet dari Iran iaitu Nader Moradi yang juga juara Sukan Paralimpik London pada 2012,” ujar beliau lagi.
Bagi Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah pula, kejayaan Bonnie itu bakal memberi inspirasi kepada atlet lain untuk terus berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai impian mereka.
“Atlet yang berusia 22 tahun dari Kanpung Ta’ee ini memulakan latihan di bawah jurulatih Jamil Adam sejak 2012 dalam Program Pembangunan Sarawak dalam sukan Orang Kurang Upaya (OKU) sebelum berpindah ke Kuala Lumpur bagi menyambung latihan peringkat lebih tinggi pada 2017.
“Dia (Bonnie) telah mengambil bahagian dalam banyak kejohanan seperti Asia Youth Para Games, ASEAN Para Games, Asia Para Games, Commonwealth Games, Para Powerlifting World Cups dan World Para Powerlifting Championship serta telah memenangi banyak pingat di sepanjang penyertaannya.
“Pencapaian ini akan memberi inspirasi kepada atlet lain dari Sarawak untuk terus berlatih dan berusaha demi mencapai impian mereka dengan memanfaatkan potensi secara maksimum serta berupaya menempuhi segala halangan dan cabaran,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada jurulatih para ‘powerlifting’, Jamil Adam yang juga berasal dari Sarawak atas komitmen, latihan dan tunjuk ajar yang telah diberi.
Dengan kejayaan yang digapai oleh Bonnie itu, bermakna Sarawak sebenarnya adalah ‘lubuk’ bagi melahirkan atlet-atlet yang bertaraf dunia walaupun turun dengan kategori apa sekali pun.
Justeru, adalah tidak menghairan jika dari tahun ke tahun Sarawak berupaya menampilkan ramai atlet yang mampu ‘menawan dunia’ bukan sahaja di peringkat Temasya Sukan Malaysia (SUKMA), tetapi juga pada saingan Sukan SEA serta yang paling tinggi pada Sukan Olimpik pada masa datang.