
KUCHING: Ghee Hua Group mengukir satu lagi sejarah dalam industri automotif Sarawak apabila melancarkan Proton 3S Centre pertamanya di Matang menjadikan cawangan ini pusat Proton pertama kumpulan itu di Malaysia Timur dan simbol permulaan baharu bagi jenama nasional ikonik berkenaan di Bumi Kenyalang.
Majlis pelancaran yang gilang-gemilang itu dihadiri tetamu kehormat termasuk Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman, wakil pengurusan tertinggi Proton, rakan kewangan, syarikat insurans, pembekal, rakan media serta pelanggan setia Ghee Hua Group.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Ghee Hua, Kevin Law, dalam ucapannya berkata kejayaan ini menjadi bukti kepada semangat kerjasama dan kepercayaan yang tinggi antara Proton dan Ghee Hua Group.
“Pasukan Proton memang luar biasa. Mereka sentiasa ada, hanya satu panggilan atau mesej WhatsApp sudah cukup untuk mereka bertindak.
“Sokongan sebegini bukan mudah dijumpai. Kami amat menghargai dedikasi Proton yang sentiasa memastikan kejayaan setiap pengedar,” katanya penuh semangat.

Beliau turut menegaskan bahawa Ghee Hua melihat Proton bukan sekadar rakan niaga, tetapi sebagai rakan strategik jangka panjang yang sehaluan dengan visi kumpulan untuk membina legasi automotif tempatan yang berdaya saing.
“Proton hari ini bukan lagi jenama lama yang kita kenal dahulu. Ia sudah berubah, lebih inovatif, lebih moden dan jauh lebih berwawasan. Kami percaya dengan kualiti dan hala tuju baharu Proton,” ujarnya.
Pembukaan Proton 3S cawangan itu memperkukuh jaringan jualan dan perkhidmatan Proton di Sarawak.
Pusat berkonsep 3S (Sales, Service & Spare Parts) ini menawarkan kemudahan serba lengkap termasuk ruang pameran moden, bengkel servis berteknologi tinggi serta perkhidmatan pelanggan berstandard tinggi yang menekankan ‘Sarawakian hospitality’.
Kevin Law turut menekankan bahawa pembukaan pusat ini merupakan manifestasi komitmen Ghed Hua terhadap pembangunan automotif tempatan dan kesinambungan generasi baharu kumpulan itu.
“Proton ialah rakan perniagaan seumur hidup kami. Ini bukan sekadar menjual kereta, ini tentang membina masa depan. Kami melibatkan generasi muda dalam keluarga GEE Hua untuk meneruskan legasi ini,” katanya.
Sejak penubuhannya lebih 40 tahun lalu, Proton telah berkembang daripada pengeluar pertama kereta nasional kepada jenama yang menembusi pasaran antarabangsa melalui perkongsian teknologi dengan Geely.
Kini, model-model baharu seperti X50, X70 dan S70 menjadi simbol transformasi Proton sebagai jenama moden berprestasi tinggi dengan reka bentuk, keselamatan dan teknologi pintar bertaraf global.
Kevin Law percaya semangat inovasi dan komitmen Proton terhadap kualiti inilah yang mendorong GEE Hua untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan tersebut.
“Kami mahu menjadi jambatan antara Proton dan pelanggan di Sarawak, supaya setiap pelanggan yang datang ke pusat kami bukan sekadar membeli kereta, tetapi merasai pengalaman Proton sepenuhnya,” jelasnya.


Dengan pelancaran rasmi ini, Cawangan Proton 3S Centre milik Ghee Hua Group ini bakal menjadi mercu tanda baharu kepada pelanggan di kawasan Petra Jaya dan sekitarnya, memperkukuh komitmen Proton untuk terus mendekati rakyat, menyemarakkan industri automotif tempatan dan membina masa depan mobiliti Malaysia yang lebih berdaya saing.
Untuk rekod, cawangan tersebut beralamat di Aras Bawah, Sublot 4 & 5, Land District Lot 14137 & 14138, Jalan Matang, Section 65, Kuching.
Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman, turut menyampaikan ucapan penuh penghargaan dan rasa bangga atas pembukaan rasmi Proton Ghee Hua 3S Centre di Matang yang disifatkan sebagai satu perkembangan penting bagi bandar raya Kuching.
Beliau berkata, majlis berkenaan amat istimewa kerana diadakan sehari sebelum sambutan Hari Kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, menjadikannya satu acara yang cukup bermakna bagi warga bandar raya.
“Bagi kami di Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), amat berbesar hati melihat majlis ini berlangsung pada hari yang istimewa ini.
” Esok merupakan hari ulang tahun Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, dan saya anggap acara ini turut menjadi sebahagian daripada sambutan istimewa itu,” katanya.
Menurut beliau, pembukaan pusat 3S itu mencerminkan keyakinan tinggi Ghee Hua terhadap potensi ekonomi dan pembangunan bandar raya Kuching, khususnya di bawah pentadbiran DBKU.
“Saya amat berbangga kerana sebuah syarikat tempatan yang berjaya seperti Ghee Hua memilih untuk bekerjasama dengan jenama nasional kita, Proton, satu jenama yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
“Ini bukan sekadar kejayaan perniagaan, tetapi bukti bahawa kerjasama strategik tempatan dan nasional mampu memperkukuh ekonomi bandar kita,” tegasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ghee Hua dan Proton kerana memilih kawasan pentadbiran DBKU sebagai lokasi bagi pusat pertama mereka di Sarawak.
“Keputusan untuk menempatkan Proton Ghee Hua 3S Centre di Matang ini sangat tepat. Ia membantu usaha kami menjadikan kawasan ini sebagai hab perniagaan yang dinamik, maju dan mesra komuniti,” ujarnya.
Datuk Hilmy berkata, pembangunan pusat itu seiring dengan usaha DBKU menjadikan Kuching sebagai bandar raya pintar, lestari dan berorientasikan rakyat, dengan sokongan padu sektor swasta yang progresif.
“Pembukaan pusat baharu ini menggambarkan keyakinan terhadap landskap perniagaan Kuching dan potensinya sebagai hab bandar yang berkembang pesat. Ia melengkapi usaha kolektif kami dalam membentuk bandar raya yang inklusif dan berdaya maju,” katanya.
Beliau turut menasihati lebih banyak syarikat tempatan untuk mencontohi langkah Ghee Hua dan Proton dalam memperkasa pembangunan ekonomi setempat melalui pelaburan strategik dan kerjasama jangka panjang.
“Saya percaya kehadiran Proton Ghee Hua 3S Centre di sini akan memberi nilai tambah kepada komuniti, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta menjadikan kawasan ini lebih bermakna kepada masyarakat perniagaan,” jelas beliau.
Oleh Shahrul Qaizat