
TORONTO, Kanada: Ghana mencatat kemenangan dramatik 1-0 ke atas Panama dalam perlawanan pembukaan Kumpulan L Piala Dunia di Toronto sebentar tadi.
Caleb Yirenkyi muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit kelima masa kecederaan, sekali gus mencetuskan kegembiraan dalam kalangan ribuan penyokong Ghana di bandar terbesar Kanada itu dan menamatkan perlawanan yang berlangsung sengit serta seimbang.
Kedua-dua pasukan bergelut untuk mencipta peluang pada babak pertama selepas percubaan penyerang Panama, Cecilio Waterman, pada minit kedua berjaya ditepis penjaga gol Ghana, Lawrence Ati Zigi.

Skuad Black Stars pula gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke arah gol sepanjang separuh masa pertama.
Babak kedua berlangsung dalam hujan berterusan di Stadium Toronto, namun menyaksikan permainan lebih terbuka apabila kedua-dua pasukan meningkatkan intensiti serangan.
Cristian Martinez hampir menggembirakan penyokong Panama apabila rembatannya terkena jaring sisi pada minit ke-60, sekali gus mengundang sorakan gemuruh daripada penyokong negara itu.
Bagaimanapun, perlawanan yang dilihat bakal berakhir tanpa jaringan akhirnya memihak kepada Ghana apabila Yirenkyi menjaringkan gol kemenangan pada penghujung aksi.

Jurulatih berpengalaman Ghana, Carlos Queiroz, kemudian menoleh ke arah penyokong pasukannya sambil menggesa mereka meraikan jaringan tersebut.
Queiroz hanya mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih Ghana beberapa bulan sebelum kejohanan bermula.
Perlawanan itu turut menyaksikan beliau menjadi jurulatih kedua dalam sejarah yang membimbing pasukan pada lima edisi Piala Dunia berturut-turut selepas mengendalikan Portugal pada 2010 serta Iran pada 2014, 2018 dan 2022.

Sorakan tidak puas hati bergema di seluruh stadium yang dipenuhi hampir 43,000 penonton ketika rehat hidrasi pada babak kedua dalam keadaan hujan lebat.
Ghana meraih kemenangan itu walaupun tanpa khidmat pemain tengah Villarreal, Thomas Partey, yang sedang berdepan perbicaraan atas tuduhan merogol di Britain. Pihak berkuasa Kanada menolak permohonannya untuk mendapatkan visa Piala Dunia susulan kes berkenaan. — AFP