KUALA LUMPUR: Grab Financial Group (GFG) akan melancarkan platform pinjaman pengguna pihak ketiga bermula di Singapura, sebelum mengembangkannya ke Malaysia dan negara-negara lain.
Dalam kenyataan semalam, platform fintech terkemuka di Asia Tenggara itu berkata ia turut memperkenalkan AutoInvest, penyelesaian pelaburan mikro, dan memperluaskan barisan penawaran ‘beli sekarang bayar kemudian’ dengan melancarkan PayLater Instalments dan PayLater Postpaid di laman e-dagang terpilih di Singapura dan Malaysia pada Oktober.
Katanya, inisiatif itu sebahagian daripada strategi ‘Thrive with Grab’ GFG, yang akan mengembangkan rangkaian penawaran penggunanya untuk memanfaatkan peluang perkhidmatan kewangan pasaran massa Asia Tenggara yang luas.
Di bawah platform pinjaman pengguna pihak ketiga, katanya, pengguna akan mengetahui mengenai pinjaman peribadi yang ditawarkan oleh rakan bank berlesen GFG untuk memenuhi keperluan pinjaman harian mereka.
“Platform menyeluruh yang inovatif itu akan menyaksikan rakan bank dan GFG menyepadukan API (antara muka pengaturcaraan aplikasi) mereka untuk membolehkan pengguna mengakses dan memohon pinjaman dengan selamat secara langsung dalam aplikasi Grab,” katanya.
Sementara itu, katanya inisiatif PayLater Instalments dan PayLater Postpaid akan membolehkan pengguna yang layak untuk menguruskan aliran tunai mereka dengan lebih baik dan membolehkan mereka membeli-belah dalam talian pada masa ini dan membayar ansuran tanpa faedah dengan peruncit perabot, fesyen kecantikan terkemuka.
“Pengguna yang layak boleh memilih untuk membahagikan pembelian mereka kepada ansuran bulanan (PayLater Instalments) atau menangguhkan pembayaran mereka kepada bulan berikutnya (PayLater Postpaid),” katanya.
Katanya, penyelesaian pelaburan mikro pertama GFG, AutoInvest, yang ditawarkan oleh GrabInvest (S) Pte Ltd, membolehkan pengguna Singapura “melabur apabila mereka berbelanja” dengan urus niaga Grab harian mereka.
“Wang AutoInvest dilabur dalam dana pendapatan tetap cair berkualiti tinggi yang ditawarkan oleh Fullerton Fund Management dan UOB Asset Management,” katanya.
Pengarah Urusan Kanan, Ruben Lai berkata, strategi Thrive with Grab akan membolehkan pengguna membina kekayaan mereka, menguruskan kewangan mereka dan melindungi apa yang mereka hargai dalam tempoh tidak menentu ini.
“Dengan menawarkan perkhidmatan kewangan berasaskan urus niaga mikro yang inovatif, kaedah pengurusan kewangan yang mudah dan akses kepada produk daripada institusi kewangan global terkemuka, kami berharap dapat membuka potensi yang besar dalam perkhidmatan kewangan di rantau ini,” katanya.
Lai berkata, kejayaan perniagaan pinjaman PKS dan insurans mikro GFG menunjukkan kepada keperluan yang belum dipenuhi di rantau ini untuk perkhidmatan kewangan yang boleh diakses.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Google serta Temasek and Bain & Company, lebih 70 peratus daripada penduduk di Asia Tenggara kurang menggunakan perkhidmatan perbankan, manakala dianggarkan AS$75 bilion (AS$1=RM4.21) dalam aset di bawah pengurusan akan mengalir ke saluran digital menjelang 2025.
“GFG menyasarkan untuk memanfaatkan peluang besar ini untuk meningkatkan keterangkuman kewangan dan membuka aliran pendapatan baharu untuk Grab,” katanya. – Bernama