Martin Satriano meraikan jaringan kemenangan Getafe ketika menentang Real Madrid di Santiago Bernabeu. Foto AFP
MADRID: Real Madrid menerima tamparan hebat dalam perebutan kejuaraan La Liga selepas tewas 0-1 kepada Getafe CF di laman sendiri, awal pagi tadi.
Gol voli cantik Martin Satriano memastikan skuad kendalian Alvaro Arbeloa ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, FC Barcelona.
Ia juga kekalahan liga berturut-turut pertama Real sejak 2020, sekali gus menambah tekanan menjelang aksi penting akan datang.
Situasi bertambah buruk apabila penyerang muda Franco Mastantuono dilayangkan kad merah pada masa kecederaan kerana membantah keputusan pengadil.
“Jelas kami boleh lakukan lebih baik. Pemain sudah mencuba dan kami cipta lebih banyak peluang, tetapi dalam bola sepak, layak menang sahaja tidak mencukupi,” kata Arbeloa.
Tanpa kelibat Kylian Mbappe yang masih menjalani rawatan lutut di Perancis, Real mempertaruhkan Gonzalo Garcia bersama bintang Brazil Vinicius Junior di Stadium Santiago Bernabeu.
Vinicius yang kembali menemui rentak musim ini mensia-siakan peluang terbaik awal permainan apabila percubaannya diselamatkan David Soria.
Getafe memecah kebuntuan menerusi rembatan menarik Satriano dari luar kotak penalti selepas tandukan Mauro Arambarri singgah tepat ke laluannya.
Soria sekali lagi menjadi wira pelawat apabila menafikan beberapa percubaan tuan rumah, termasuk daripada Vinicius dan Antonio Rudiger.
Real kini perlu bangkit ketika bertemu Celta Vigo sebelum melayan kunjungan Manchester City pada aksi Liga Juara-Juara.
“Tiada siapa angkat bendera putih. Ini Real Madrid, kami akan lawan hingga perlawanan terakhir. Empat mata masih boleh dikejar,” tegas Arbeloa.
Kemenangan itu melonjakkan Getafe ke tangga ke-11 dan menjadi kejayaan pertama mereka di Bernabeu sejak 2008. – AFP