Arsenal dan Liverpool antara enam kelab England yang mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara musim ini. Foto fail AFP
PARIS: Kelab-kelab gergasi England mendominasi pentas Eropah apabila enam wakil Liga Perdana mara ke pusingan 16 terakhir musim ini, menjelang undian yang berlangsung di ibu pejabat UEFA, Switzerland, hari ini.
Kejayaan Newcastle United membenam Qarabag dengan agregat 9-3 pada aksi play-off memastikan rekod baharu tercipta apabila enam kelab England beraksi di peringkat kalah mati.
Sebelum ini, dominasi kewangan Liga Perdana tidak selalu diterjemahkan kepada kejayaan di pentas Eropah.
Tiada wakil England muncul dalam dua final terakhir, dan hanya dua kali menjulang trofi dalam enam musim kebelakangan ini.
Namun musim ini berbeza.
Lima kelab – Arsenal, Liverpool, Tottenham Hotspur, Chelsea dan Manchester City – menamatkan saingan kelompok lapan teratas untuk layak terus ke 16 terbaik.
Daripada 29 perlawanan menentang kelab dari Sepanyol, Jerman, Itali dan Perancis, wakil England hanya tewas enam kali – membuktikan bayang-bayang mereka kini semakin besar di Eropah.
Kaya bertambah kaya
Laporan UEFA mendedahkan pendapatan hak siaran kelab divisyen utama England meningkat 1.5 bilion euro antara 2014 hingga 2024 – hampir menyamai peningkatan keseluruhan 53 liga utama Eropah lain digabungkan.
Sebanyak 15 daripada 30 kelab terkaya dunia dalam senarai Deloitte Football Money League berasal dari Liga Perdana.
Jurulatih Inter Milan, Cristian Chivu, mengakui perbezaan ketara selepas tewas kepada Arsenal bulan lalu.
“Mereka lebih berintensiti, teknik dan pantas. Liga Perdana memang berbeza dari segi tempo,” katanya.
Wakil lain
Selain enam kelab England, saingan 16 terakhir turut dibarisi nama besar seperti Real Madrid, Barcelona, Bayern Munich dan juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG).

Undian turut menentukan laluan setiap pasukan hingga ke final di Budapest pada 30 Mei nanti.
Persoalannya kini – berapa ramai wakil England mampu mara ke suku akhir? – AFP