MIRI: Gereja Agape Grace Methodist menerima geran RM950,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Jabatan Premier Sarawak bagi menyokong projek pembinaan gereja berkenaan.
Geran berkenaan diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting, hari ini.
Pastor Gereja Agape Grace Methodist, Lin Yi Tao berkata, projek pembinaan gereja itu menelan kos keseluruhan RM5.8 juta dan kini kira-kira 60 peratus siap.
Menurutnya, projek berkenaan dijangka siap pada pertengahan 2027.
Ting berkata, geran berkenaan disalurkan Unifor sebagai sebahagian daripada sokongan kerajaan Sarawak terhadap pembangunan rumah ibadat
Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan pelbagai organisasi agama dan kepercayaan melalui bantuan kewangan bagi menambah baik serta meningkatkan kemudahan rumah ibadat.
“Rumah ibadat bukan sekadar tempat menjalankan aktiviti keagamaan, tetapi juga menjadi platform penting untuk menyatukan komuniti, menggalakkan interaksi antara pelbagai kumpulan serta memperkukuh keharmonian masyarakat,” katanya.
Beliau berharap geran berkenaan dapat membantu Gereja Agape Grace Methodist meneruskan kerja pembinaan, selain memberi manfaat jangka panjang kepada penganut dan komuniti setempat.
Ting turut merakamkan penghargaan kepada UNIFOR atas sokongan berterusan kepada pelbagai organisasi agama, yang mencerminkan komitmen Sarawak terhadap kepelbagaian, keterangkuman dan keharmonian.





