
MARUDI: Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala, telah melakukan lawatan pemantauan ke beberapa projek pembangunan di kawasan Poyut/Lubok Nibong, di sini, semalam.
Projek yang ditinjau termasuk yang dibiayai di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP), dan Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS).
Menurut Gerawat, lawatan itu penting untuk memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual, spesifikasi yang ditetapkan, serta memberi manfaat kepada rakyat.
“Sebagai wakil rakyat kawasan Mulu, saya menitikberatkan pelaksanaan projek yang cekap, telus dan berimpak tinggi,” katanya.

Tambah beliau, setiap peruntukan kerajaan adalah amanah rakyat yang perlu diterjemahkan melalui penyediaan kemudahan asas berkualiti seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, dewan masyarakat dan prasarana pendidikan.
Beliau turut menggesa semua kontraktor yang dilantik agar melaksanakan projek dengan penuh tanggungjawab dan menyiapkan kerja mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang gagal melaksanakan amanah ini,” tegasnya.
Dalam lawatan tersebut, beliau memeriksa projek baik pulih atap rumah JKKK Rh Mulin yang bernilai RM44,418 di bawah PPRMS, serta meninjau pemasangan lampu solar bernilai RM20,000 di Rh Michael Selengkor menerusi peruntukan MRP.
Gerawat turut melawat tapak rumah panjang baharu Rh Blalang bagi melihat perkembangan persediaan tapak, yang menerima peruntukan sebanyak RM45,000 menerusi MRP ADUN Mulu pada 2022.
Beliau berharap lawatan itu dapat menjadi pemangkin untuk memastikan setiap projek yang diluluskan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan mendorong perubahan positif di kawasan Mulu.
Oleh Jiku Juguong