
MARUDI: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala, mengadakan lawatan kerja ke kawasan Poyut Lubok Nibong bagi meninjau pelaksanaan beberapa projek pembangunan di bawah kawasan DUN Mulu.
Antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah pemasangan struktur berbentuk bakul di Rumah Panjang Gawong Selejau, yang bertujuan menyelesaikan masalah banjir dan hakisan tebing.
Menurut Gerawat, projek ini dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai usaha jangka panjang melindungi komuniti rumah panjang daripada ancaman runtuhan tebing.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut meluangkan masa bertemu penduduk di Rumah Panjang Lalo dan Rumah Panjang Anja, bagi mendapatkan maklum balas terus daripada rakyat.
Gerawat mendedahkan bahawa sejak menjadi wakil rakyat, para Tuai Rumah di kawasan ini telah mengemukakan permohonan untuk membina rumah panjang baharu melalui peruntukan di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
Hasil kerjasama erat antara pemimpin komuniti dan penduduk, tiga buah rumah panjang baharu telah berjaya disiapkan lengkap dengan bekalan air bersih, elektrik dan dewan serbaguna.
“Saya amat menghargai semangat bergotong-royong dan usaha penduduk dalam menjayakan pembinaan rumah panjang baharu ini. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, mereka tetap bersatu hati merealisasikan impian bersama,” katanya.
Dalam lawatan itu juga, beliau meninjau tapak cadangan pembinaan beberapa unit rumah baharu, dan memberi jaminan akan terus membantu menjayakan usaha tersebut.
Gerawat menegaskan bahawa pembinaan rumah panjang moden bukan sahaja memberi keselesaan, tetapi penting dalam menjamin kemajuan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Beliau turut menggesa penduduk supaya terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan kawasan masing-masing.
Selain itu, beliau sempat melawat Rumah Serbaguna SIDS Pampang Marudi bersama Pengerusi SIDS Pampang Marudi, Kaunselor Yanti Nyanggau.
“Saya kagum melihat semangat dan penyertaan wanita SIDS di sini. Ia mencerminkan kekuatan komuniti wanita luar bandar dalam memacu pembangunan sosial dan ekonomi,” tambahnya.
Oleh Jiku Juguong