
BARAM: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, menerima kunjungan beberapa persatuan dan pertubuhan masyarakat dari Miri di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) cawangan Miri.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Baram berkata pertemuan ini mencerminkan semangat kerjasama dan kebersamaan yang kukuh dalam usaha membangunkan komuniti.
Dalam pertemuan tersebut, beliau turut menyerahkan plak projek di bawah Program Projek Kecil Luar Bandar (PPRMS) bagi kawasan ADUN Mulu. Antara penerimanya ialah Kampung Ulung Palang, Bario; Kampung Pa Remapuh A; Rumah (Rh) Mullin; Padan Kerbau, Marudi serta Long Lobang.
Beliau berharap kemudahan ini memberi keselesaan dan kesejahterraan yang lebih baik kepada penduduk setempat.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyempurnakan penyerahan cek UNIFOR berjumlah RM90,000 kepada Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) Long Balong bagi menyokong pembangunan serta keperluan komuniti gereja di kawasan tersebut.
Dalam pada itu beliau turut mengadakan sesi perbincangan bersama wakil daripada Club of Miri Oil Town serta Persatuan Kayan Sarawak (Miri).
Menerusi perkongsian dalam aplikasi WhatsApp beliau berkata pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan serta menerima jemputan menghadiri beberapa program komuniti yang telah dirancang pada bulan ini dan bulan hadapan.
Beliau menghargai kunjungan dan komitmen semua pihak yang sentiasa aktif dalam memperkukuhkan perpaduan, kebajikan serta pembangunan masyarakat Miri.
Beliau berharap jalinan kerjasama ini perlu diterus dan diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat dan masa depan yang lebih baik untuk semua.
Oleh Jiku Juguong