
MARUDI: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala mengingatkan para pelajar bahawa pendidikan adalah asas kepada masa depan yang lebih cerah.
Katanya kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak sentiasa komited dalam memastikan anak-anak Sarawak mendapat peluang pendidikan yang lebih baik.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata antara inisiatif yang sedang dilaksanakan ialah penyediaan pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak.
Menurut beliau inisiatif ini bertujuan bagi memastikan anak-anak Sarawak termasuk dari kawasan luar bandar dan pedalaman seperti di Long Lellang mempunyai peluang yang sama untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti tanpa dibebani kos pengajian yang tinggi.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri amat menitikberatkan pembangunan modal insan kerana kita percaya bahawa masa depan Sarawak terletak di tangan generasi muda hari ini,” katanya.
Gerawat mengalakkan semua pelajar di SK Long Lellang belajar bersungguh-sungguh, menghormati guru dan ibu bapa serta mempunyai impian yang besar untuk masa depan.
Beliau berkata semasa merasmikan Kejohanan Sukan Balapan dan Padang di SK Long Lellang semalam.
Tambahnya kejohanan seperti ini bukan sekadar satu acara tahunan sekolah malah merupakan satu platform penting dalam membentuk sahsiah, disiplin serta semangat kerjasama pelajar.
Menurut beliau melalui sukan kita belajar tentang nilai usaha, semangat kesukanan, ketabahan dan juga pentingnya bekerjasama sebagai satu pasukan.
Katanya menang atau kalah dalam pertandingan adalah perkara biasa, apa yang penting ialah keberanian untuk mencuba, bersemangat untuk berusaha dan mempunyai keazaman untuk terus memperbaiki diri.
“Saya pasti suatu hari nanti akan lahir pelajar-pelajar yang cemerlang dalam, bidang akademik dan sukan dari SK Long Lellang,” harapan Gerawat.
Oleh Jiku Juguong