
MARUDI: Sejumlah RM407,500.00 peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diagihkan hari ini kepada 23 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta organisasi lain dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu.
Penyerahan cek MRP tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berharap semua penerima peruntukan MRP menggunakannya dengan sebaik mungkin. Beliau menegaskan supaya laporan lengkap dihantar kepada Pusat Khidmat DUN Mulu setelah projek siap dilaksanakan.
Datuk Gerawat menekankan bahawa peruntukan MRP harus digunakan secara bertanggungjawab dan setiap projek hendaklah dilaporkan dengan lengkap bagi memastikan keberkesanan penggunaan dana tersebut. Beliau turut menggesa semua penerima agar mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak Pusat Khidmat DUN Mulu dan memastikan projek dijalankan dengan teliti serta berkesan.

Antara penerima peruntukan MRP ialah JKKK Rh. Jipun Tanjung Upar Baru, JKKK Rh. Anthony Sungai Linei Merah, JKKK Michael Biggol Logan Entasaan, SIDS Sungai Temesok Linei, SIDS Rh. Keir Sulang Sungai Selejau, JKKK Sungai Sebatang Marudi, JKKK Rh. Entika Poyut Marudi, SIDS Unit Rh. Jugah Sg Belasoi, PIBG SK Sungai Brit, dan JKKK Kampung Lubok Nibong Marudi.
Selain itu, penerima lain yang turut menerima peruntukan MRP termasuk Jawatankuasa Pembangunan Perpustakaan Desa Poyut, SIDS Unit Lubang Kompeni, JKKK Rh. Entika Marudi, JKKK Tr. Matan Sg Ridan B Marudi, JKKK Kampung Kuala Tutoh Baram, JKKK Rh. Sumping Sungai Linei Tutoh, JKKK Poyut Kampung Cina, JKKK Rh. Vincent Tanjong Upar, SIDS Unit Rh. Vincent Tanjong Upar, Persatuan Bidan Sarawak, serta Kelab Kebajikan dan Rekreasi Pejabat Daerah.
Sumbangan dana MRP ini diharapkan dapat meningkatkan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat setempat melalui pelbagai projek kecil yang memberi manfaat kepada penduduk kampung serta organisasi yang terlibat.
Oleh Jiku Juguong