
MARUDI: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala mengadakan lawatan pemantauan projek ke Long Tungan dan Ba Muboi semalam.
Lawatan ini diadakan bagi meninjau kemajuan serta status pelaksanaan projek naik taraf bekas jalan balak dilaksanakan di bawah inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi meningkatkan akses jalan luar bandar serta kemudahan mobiliti penduduk di kawasan pedalaman.
Menurut Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, lawatannya itu penting bagi menilai kemajuan fisikal kerja naik taraf bekas jalan balak di dua kampung.
“Apabila jalan ini siap kelak ia akan meningkatkan akses dan konektiviti luar bandar,” katanya.
Menurut beliau jalan balak yang dinaik taraf ini berfungsi sebagai laluan penghubung utama antara kampung, pekan dan bandar.
Katanya ia akan memudahkan penduduk luar bandar mendapatkan akses seperti sekolah, klinik, balai polis dan pasar.
Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa konektiviti yang baik juga memudahkan agensi kerajaan melaksanakan program pembangunan dan penyampaian bantuan di kawasan pedalaman.
“Setakat ini kemajuan fisikal projek ini ialah pada peringkat 51 peratus dan saya mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kontraktor Fastart Sdn Bhd,” tambah Gerawat.
Menurut beliau, walaupun cabaran dari segi pelaksanaan di lapangan teemasuk faktor cuaca, logistik dan keadaan geografi yang sukar tetapi pelaksanaan projek ini tetap mendahului jadual.
Gerawat berharap projek ini dapat disiapkan dengan segera bagi kemudahan ratusan penduduk di Kampung Long Tungan dan Ba Muboi.
Turut serta dalam lawatan tersebut Jurutera JKR Bahagian Miri, Ir Stephen Ung Neng Hui, Pegawai daerah Pejabat daerah Telang Usan, Ezra Uda dan Pengarah Urusan Fastart Sdn Bhd, Tommy Raymond Jok.
Oleh Jiku Juguong