
BARAM: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, telah meluangkan masa mengadakan lawatan ke Kampung Long Balong, petang semalam.
Gerawat, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, berkata lawatan kerja beliau ke kampung tersebut amat penting untuk melihat sendiri perkembangan serta keperluan masyarakat di kawasan berkenaan.
Beliau berkata transformasi Kampung Long Balong bukan sekadar satu perancangan, tetapi merupakan komitmen berterusan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan luar bandar.
“Kita mahu memastikan bahawa pembangunan yang dilaksanakan adalah inklusif, mampan dan memberi manfaat secara langsung kepada semua lapisan masyarakat,” ujar Gerawat.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan bekalan elektrik yang lebih stabil amat diperlukan di kampung tersebut.
Tambah beliau, kemudahan berkenaan merupakan nadi kepada kesejahteraan dan kemajuan sesebuah komuniti.
Menurutnya lagi, pemerkasaan ekonomi penduduk melalui aktiviti pertanian, keusahawanan dan pelancongan komuniti perlu diberi perhatian, memandangkan kampung tersebut mempunyai potensi besar untuk diketengahkan, termasuk keindahan alam semula jadi serta keunikan budaya masyarakat setempat.
Beliau berkata pada masa ini, akses komunikasi di kawasan tersebut adalah baik dan stabil, dan dalam era teknologi hari ini, capaian internet bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya satu keperluan.
“Kita akan terus berusaha memastikan masyarakat di sini tidak ketinggalan dalam arus digital,” katanya.
Dalam pada itu, berkenaan jalan dari Long Banga ke Long Balong, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memberi keutamaan kepada projek tersebut dalam perancangan Bajet Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Beliau memberi jaminan bahawa suara dan keperluan penduduk Kampung Long Balong akan terus menjadi keutamaan beliau sebagai wakil rakyat.
“Kita akan bersama-sama membangunkan kampung ini menjadi sebuah komuniti yang lebih maju, sejahtera dan berdaya tahan,” katanya.
Oleh Jiku Juguong