
MARUDI: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak ( Buruh, Imigresen dan Pembangunan Projek ) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkunjung Hari Raya ke kampung Seberang Lubok Nibong sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri hari ini.
Semasa berkunjung ke Kampung tersebut beliau disambut mesra oleh Ketua Kampung (KK) Madlie Moss dan penduduk kampung berkenaan yang satu-satunya kampung masyarakat Kiput Islam bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu.
Katanya, sambutan penduduk kampung di sini menunjukkan semangat perpaduan dan kemesraan yang sangat beliau hargai.

Gerawat menegaskan, kunjungan beliau ke kampung ini merupakan satu tradisi yang sentiasa beliau banggakan setiap kali sambutan perayaan Hari Raya.
“Ini juga memberi peluang kepada saya untuk bertemu, bertanya khabar serta mengeratkan hubungan silatulrahim bersama komuniti setempat,” katanya.
Beliau amat gembira kerana sambutan Hari Raya tahun ini lebih bermakna kepada penduduk Kampung Seberang Lubok Ninong kerana bekalan elektrik di kampung berkenaan telah disambungkan sekali gus memberi kemudahan yang lebih baik kepada penduduk setelah 40 tahun penantian.
Dalam pada itu katanya kemudahan asas seperti ini amat penting untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat serta membuka lebih banyak peluang pembangunan pada masa akan datang.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Ketua Kampung serta seluruh penduduk Kampung Sebrang Lubok Nibong atas sambutan yang begitu baik dan mesra kepada rombongannya.
Oleh Jiku Juguong