Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Geran tahunan perkasa peranan masjid, surau di Petra Jaya
  • TEMPATAN

Geran tahunan perkasa peranan masjid, surau di Petra Jaya

Utusan Sarawak 8 hours ago
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof menyampaikan Geran Tahunan kepada wakil 30 masjid dan 60 surau bagi kawasan Parlimen Petra Jaya di Masjid Darul Ibadah, Kampung Samariang Lama, malam ini. Foto Shikin Mahmud

PETRA JAYA: Sebanyak 30 masjid dan 60 surau di bawah kawasan Parlimen Petra Jaya menerima Geran Tahunan berjumlah keseluruhan RM330,000 dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Darul Ibadah, Kampung Semariang Lama, malam ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof yang menegaskan komitmen berterusan untuk memperkasa institusi masjid dan surau sebagai nadi pembangunan ummah.

Menurut beliau, masjid dan surau sememangnya memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti serta program, di samping penyelenggaraan kemudahan sedia ada walaupun peruntukan turut disalurkan oleh kerajaan negeri serta sumbangan orang ramai.

Beliau bersyukur kerana pembinaan masjid dan surau di kawasan Petra Jaya banyak dibantu sehingga ada yang mempunyai kemudahan amat selesa, namun menegaskan cabaran utama kini ialah memastikan institusi tersebut terus diimarahkan.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof ketika ditemui media selepas menyampaikan Geran Tahunan kepada wakil 30 masjid dan 60 surau bagi kawasan Parlimen Petra Jaya di Masjid Darul Ibadah, Kampung Samariang Lama, malam ini. Foto Shikin Mahmud

“Masjid sudah besar, surau sudah besar, tetapi jemaahnya belum tentu besar. Cabaran kita ialah bagaimana hendak menarik lebih ramai jemaah dan memastikan masjid serta surau benar-benar berfungsi,” katanya.

Tambah beliau, masjid dan surau ialah tempat menyatukan umat, menimba ilmu serta membincangkan penyelesaian masalah masyarakat termasuk isu sosial dan pendidikan anak-anak.

Beliau turut menekankan kepentingan membekalkan umat Islam dengan ilmu dunia dan akhirat serta kemahiran bagi menghadapi cabaran semasa dan masa depan, khususnya dalam era teknologi yang berkembang pesat.

Dalam perkembangan sama, ketika ditemui media, beliau memaklumkan perancangan untuk merangka satu projek pendedahan kepada jawatankuasa masjid dan surau berhubung penguasaan teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, AI mempunyai kebaikan dan keburukan, jika tidak diurus dengan baik ia boleh mendatangkan kesan negatif termasuk penyebaran berita palsu, namun jika dimanfaatkan secara betul ia boleh membantu penyebaran pendidikan Islam, ceramah dan aktiviti masjid melalui media sosial.

“Kita kena penuhi media sosial dengan perkara-perkara baik supaya perkara yang tidak baik dapat dikurangkan,” ujarnya sambil memaklumkan inisiatif tersebut akan difokuskan di Parlimen Petra Jaya terlebih dahulu dan diharap dapat diperluaskan ke kawasan lain sekiranya berjaya.

Mengakhiri ucapan, beliau merakamkan penghargaan atas sokongan semua pihak serta mendoakan agar umat Islam dapat menyambut dan menjalani ibadah puasa dengan penuh keberkatan demi kejayaan di dunia dan akhirat.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Program Jangkauan KPWK perkukuh hubungan kerajaan-rakyat di Zon Betong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.