
BINTANGOR: Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM264,500 telah disalurkan kepada 69 orang penerima.
Para penerima terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), agensi kerajaan, kampung, sekolah serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di dalam kawasan DUN tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata pengagihan geran tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan sosioekonomi penduduk luar bandar, khususnya di Meradong.
“Geran MRP ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Ia bertujuan membantu organisasi melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan penglibatan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan cek di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Meradong.
Beliau turut berharap geran tersebut dapat melancarkan pelaksanaan aktiviti komuniti dan memberi impak positif kepada penduduk setempat.
“Paling penting, geran yang diterima ini diharap dapat membantu penerima melaksanakan program dan aktiviti tahunan masing-masing.
“Manfaatkanlah dengan sebaik mungkin,” tambahnya.
Oleh Earl Anek