
SANTUBONG: Kerajaan Sarawak mencadangkan supaya formula pengiraan geran khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan disemak berdasarkan jumlah hasil cukai yang diperoleh Kerajaan Persekutuan dari negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, semakan tersebut wajar berpandukan prinsip pulangan yang lebih adil kepada Sarawak selaras dengan sumbangan hasil negeri kepada Persekutuan.
Menurutnya, Perkara 112D memperuntukkan supaya geran khas kepada Sabah dan Sarawak disemak setiap lima tahun, namun sebelum ini tiada semakan dibuat dalam tempoh yang sepatutnya.
“Kita ada mencadangkan formula dari Sarawak. Ia mesti berpandu kepada berapa pendapatan yang diperoleh dari Sarawak melalui cukai.
“Kalau mereka menerima banyak cukai dari Sarawak, maka beri balik lebih banyak. Kalau sedikit, beri sedikit , fleksibel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan kunci Rumah Spektra Permata (RSP) di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Santubong, di sini hari ini.
Abang Johari berkata, cadangan formula itu telah dikemukakan dan kini sedang dipertimbangkan oleh pihak berkaitan termasuk Kementerian Kewangan.
Mengulas pemberian khas sebanyak RM600 juta mulai tahun ini, beliau berpandangan jumlah tersebut masih tidak mencukupi mengambil kira komitmen pembangunan yang dibiayai sendiri oleh kerajaan negeri.
“Tak cukup. Banyak projek kita tanggung sendiri. Kita bina jambatan, kita bangunkan pusat kanser dan pelbagai infrastruktur strategik.
“Bagi saya, memandangkan Sarawak ada sedikit rezeki, kita tidak bergantung sepenuhnya kepada orang lain. Yang penting rakyat,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa geran khas di bawah Perkara 112D tidak perlu dibayar balik, namun pinjaman pembangunan tetap perlu dilunaskan, termasuk projek pembinaan pusat kanser yang melibatkan kos kira-kira RM1 bilion.
“Kita saling membantu. Waktu ini Sarawak ada rezeki, apa salah kita tolong dahulu. Mungkin suatu hari nanti kalau rezeki kita berkurang, mereka pula membantu kita,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan yang dicadangkan Sarawak bukan bersifat konfrontasi, sebaliknya bertujuan memastikan agihan hasil lebih seimbang dan berasaskan prinsip perkongsian yang adil antara negeri dan Persekutuan.
Oleh Shahrul Qaizat