Geran khas MRP perkukuh pembangunan akar umbi

Facebook
WhatsApp
GAMBAR KENANGAN... Datuk Ding Kuong Hiing bersama para penerima geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Bintangor. Foto Pusat Khidmat Meradong

BINTANGOR: Seramai 30 penerima terdiri daripada kelab, persatuan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta sekolah menerima geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM59,300 bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penyaluran geran berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu pertubuhan masyarakat dan institusi pendidikan melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.

MENYERAHKAN GERAN… ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menyerahkan geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada wakil penerima pada majlis penyerahan geran di Bintangor. Foto Pusat Khidmat Meradong

“Penyaluran MRP ini merupakan satu bentuk sokongan berterusan kepada kelab, persatuan, JKKK serta sekolah dalam melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Saya berharap geran yang diterima dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya dan digunakan secara berkesan demi kepentingan ahli serta masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ringkas penyerahan geran khas MRP kepada penerima di sini, semalam.

Menurutnya, peruntukan berkenaan bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak program yang mampu mengeratkan hubungan masyarakat serta meningkatkan kesejahteraan penduduk.

Ding Kuong Hiing berkata, kerjasama erat antara kerajaan, pertubuhan masyarakat, JKKK dan institusi pendidikan amat penting bagi memastikan agenda pembangunan di kawasan Meradong dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan.

“Saya berharap semua penerima akan terus memainkan peranan aktif dalam merancang serta melaksanakan program yang memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.

Oleh Earl Anek