
SIMANGGANG: Kerajaan terus komited dalam memastikan kebajikan dan pembangunan komuniti luar bandar terus diperkasakan menerusi penyaluran bantuan kewangan secara berfasa bagi memacu pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata, inisiatif berkenaan merupakan bukti keprihatinan berterusan pihak kerajaan terhadap keperluan akar umbi dalam memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada arus pembangunan.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan cek peruntukan geran pemberian langsung fasa dua dengan kehadiran wakil penerima daripada pelbagai kampung, persatuan dan institusi komuniti sekitar Parlimen Sri Aman, dekat sini hari ini.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni itu menyaksikan keceriaan jelas terpancar pada wajah para perwakilan yang hadir bagi menerima amanah serta sokongan kewangan berkenaan.
Peruntukan geran pemberian langsung fasa dua tersebut berjumlah RM521,700 kepada 70 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan serta rumah ibadah.
Dalam majlis ringkas tersebut, Doris turut mengingatkan agar setiap peruntukan yang disalurkan diurus dan dimanfaatkan sebaiknya bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti berfaedah demi kesejahteraan rakyat dan komuniti setempat.
Langkah ini juga dijangka dapat mengaktifkan semula pelbagai program sosial yang sempat tertangguh sebelum ini, sekali gus merapatkan lagi hubungan silaturahim antara penduduk.
Peruntukan tersebut melibatkan pelbagai keperluan komuniti termasuk program pembangunan masyarakat, aktiviti PIBG dan persatuan.
Beliau turut berharap semua penerima dapat mengurus bantuan tersebut secara telus dan bertanggungjawab agar setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik serta memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat.
Oleh Adi Safarman