
SIMANGGANG: Seramai 25 penerima terdiri daripada 20 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), empat persatuan serta satu rumah ibadah menerima peruntukan berjumlah RM200,300 di bawah Geran Pemberian Langsung bagi kawasan Parlimen Sri Aman, hari ini.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat pembangunan secara menyeluruh.
Menurut beliau, peruntukan yang disalurkan bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi membawa amanah besar untuk memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat.
“Setiap dana yang diberikan perlu dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab dan integriti agar impaknya dapat dirasai oleh masyarakat di peringkat akar umbi,” tegas Doris.
Katanya, projek dan program yang dilaksanakan menerusi peruntukan ini harus memberi nilai tambah kepada rakyat, sama ada dalam bentuk pembangunan infrastruktur, sosial mahupun ekonomi.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sesuatu program bergantung kepada kerjasama padu antara pemimpin, JKKK, dan masyarakat tempatan dalam menjayakan agenda pembangunan kerajaan.
Doris dalam pada itu menggesa agar semangat kerjasama dan perpaduan terus diperkukuh demi kemajuan serta kesejahteraan rakyat Sri Aman.
Oleh Adi Safarman