SPAOH: Datuk Gerald Rentap Jabu dijangka mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar yang telah disandang olehnya sejak 2016 pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) pada Disember ini.
Jangkaan berkenaan timbul setelah Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan tentang status Gerald sebagai calon melalui ucapan awalnya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Spaoh di sini, pagi semalam.
“Yang Berhormat… kira Yang Berhormat teruslah iaitu Datuk (Gerald) Rentap Jabu… ‘manok sabong’ (calon Gabungan Parti Sarawak-GPS) kita kelaklah (bagi kerusi DUN Layar pada PRN-12),” kata beliau.
Ucapannya beliau itu terus disusuli tepukan gemuruh oleh para hadirian pada majlis tersebut yang sudah pasti Gerald akan bertanding mempertahankan kerusi DUN Layar yang telah disandangnya semenjak PRN-11.
Sementara itu, Abang Johari pada majlis berkenaan memberitahu keputusan untuk membina kemudahan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling diambil setelah mengambil kira pelaksanaan projek bakul makanan di sini.
Katanya,kewujudan estet dan keperluan untuk mengangkut hasil makanan dari kawasan ini telah menyebabkan Kerajaan Sarawak melulus sebanyak RM108 juta bagi membina kemudahan STOLport Bebuling.
“Kewujudan kemudahan STOLport Bebuling di sini akan dapat membantu kita negeri menjadi pengeluar makanan utama di Malaysia dan meningkatkan eksport hasil makanan ke Singapura yang merupakan hab pengedar makanan ke negara lain di rantau ini.
“Kerajaan Sarawak juga boleh bertindak memperkembang akvititi pertanian di sekitar kawasan ini mengikut cara tersendiri jika kemudahan STOLport Bebuling sudah siap dibina dan beroperasi kelak,” kata beliau.
Justeru, beliau berharap agar rakyat terus mengekalkan kerajaan GPS sedia ada agar usaha mewujudkan bakul makanan di sini dapat terus diperhebat untuk lima tahun seterusnya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil, Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat, penyandang kerusi DUN Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu dan penyandang kerusi DUN Saribas, Mohammad Razi Sitam.
Oleh VALENTINE NGUMBANG