Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Gerakan sosial serantau, global: ‘Teori Gerakan Sosial’
  • KOLUMNIS

Gerakan sosial serantau, global: ‘Teori Gerakan Sosial’

Utusan Sarawak 5 days ago

Pendahuluan

DALAM dunia realiti dan digital yang semakin saling berhubung, kebangkitan rakyat melalui gerakan sosial bukan lagi fenomena terasing, tetapi satu gelombang transnasional yang berakar daripada ketidakpuasan terhadap ketidakadilan sistemik.

Sepanjang Ogos hingga September 2025, kita menyaksikan gerakan sosial yang bermula di Indonesia, merebak ke Nepal, kemudian ke Filipina dan Peru.

Meskipun keempat-empat negara ini mempunyai konteks yang berbeza, mereka berkongsi unsur perjuangan sama –  penolakan terhadap korupsi, penyalahgunaan kuasa dan sistem ekonomi-politik yang gagal membela rakyat.

Dalam perbincangan ini, gerakan sosial di empat negara tersebut akan dianalisis menggunakan tiga teori utama: Teori Mobilisasi Sumber, Teori Peluang Politik dan Teori Konstruktivisme Budaya.

Gabungan ketiga-tiga teori ini membolehkan kita memahami mekanisme gerakan ini berkembang, punca, siapa penggerak dan penggunaan simbol budaya pop seperti bendera One Piece menjadi alat penyatuan dan komunikasi perjuangan.

Teori Mobilisasi Sumber

Teori mobilisasi sumber atau resource mobilization theory menekankan bahawa kejayaan gerakan sosial sangat bergantung kepada keupayaan mereka untuk mengorganisasikan sumber seperti wang, tenaga kerja, media dan jaringan sokongan.

KEMARAHAN memuncak selepas insiden tragis melibatkan seorang pemandu ojek bernama Affan Kurniawan, yang terbunuh akibat dilanggar kenderaan polis semasa demonstrasi di ibu negara Jakarta baru-baru ini. Foto AFP

Gerakan bukanlah hasil daripada ketidakpuasan semata-mata, tetapi daripada keupayaan untuk mengatur dan memanfaatkan sumber yang tersedia secara strategik.

Di Indonesia, golongan muda menjadi pemacu utama gerakan melalui penggunaan media sosial untuk menyebarkan maklumat dan menggerakkan protes di bandar-bandar besar.

Kumpulan aktivis berjaya menggunakan sumber seperti jaringan NGO, kumpulan mahasiswa dan pengaruh selebriti digital untuk menarik perhatian awam dan antarabangsa.

Keupayaan ini membuktikan bahawa gerakan sosial memerlukan struktur organisasi yang teratur, walaupun berbentuk longgar. Walaupun tidak memiliki satu pemimpin rasmi, protes ini menunjukkan bentuk organisasi horizontal yang cekap.

Di Nepal, gerakan sosial juga diketuai oleh golongan belia, terutamanya dari ibu kota dan bandar seperti Kathmandu. Mereka menggerakkan massa melalui komunikasi digital dan perkongsian maklumat akar umbi, menggabungkan tuntutan ekonomi dengan seruan reformasi politik.

Hasilnya, rejim yang memerintah berjaya ditumbangkan dan ini menunjukkan betapa mobilisasi sumber yang efektif mampu mencipta perubahan struktur yang besar.

Gerakan di Filipina dan Peru turut menunjukkan keupayaan mengurus sumber secara efektif. Di Filipina, perhimpunan di kawasan bersejarah seperti EDSA mengaktifkan memori kolektif rakyat terhadap revolusi rakyat 1986.

Di Peru pula, gerakan penyatuan kalangan pemuda ‘Generasi Z’ menunjukkan kebolehan mereka memanfaatkan media, ruang awam, dan simbol visual untuk menarik perhatian serta membina momentum politik.

Teori Peluang Politik

Dalam teori peluang politik (political opportunity theory) menegaskan bahawa gerakan sosial berkembang apabila wujud ruang atau peluang dalam sistem politik yang membolehkan tindakan kolektif berlaku.

Perkara ini termasuk kelemahan institusi pemerintah, konflik dalaman elit politik, atau hilangnya legitimasi negara di mata rakyat.

ASAP kelihatan dari kebakaran di kediaman bekas Perdana Menteri Nepal, KP Sharma Oli, di Kathmandu, 9 September 2025. Foto AFP

Di Indonesia, krisis ekonomi yang berlarutan dan kelemahan kepercayaan terhadap kerajaan memberi ruang kepada rakyat untuk bersuara.

Kerajaan dilihat tidak responsif terhadap tuntutan rakyat, sekali gus mewujudkan kekosongan legitimasi yang dimanfaatkan oleh aktivis.

Di Nepal pula, peluang politik lebih jelas , iaitu kejatuhan rejim sedia ada disebabkan kegagalan dalam tadbir urus dan ketidakmampuan menangani kemarahan rakyat.

Dalam konteks ini, rakyat melihat bahawa perubahan bukan lagi pilihan tetapi keperluan mendesak.

Dalam kes Filipina, terdapat konflik simbolik yang memperkuat motivasi protes – rakyat bangkit di bawah bayangan sejarah ketika mereka menggulingkan Marcos Sr., kini menentang anaknya, Presiden Bongbong Marcos.

Ruang politik terbuka apabila skandal banjir mendedahkan kelemahan serius dalam pentadbiran awam. Ini mengukuhkan persepsi bahawa sistem politik sudah korup dan perlukan reformasi radikal.

Di Peru, ruang politik tercipta akibat penurunan kepercayaan mendadak terhadap Presiden Dina Boluarte dan Kongres.

Kelemahan dalam menangani jenayah terancang dan isu pencen telah mewujudkan jurang yang besar antara rakyat dan institusi.

Ruang ini diisi oleh golongan belia dan rakyat biasa yang menganggap bahawa sistem sedia ada tidak lagi mewakili kepentingan mereka.

Teori Konstruktivisme Budaya

Teori Cultural Constructivism Theory menyoroti peranan budaya, simbol dan naratif dalam menggerakkan sokongan dan mewujudkan identiti kolektif dalam gerakan sosial.

Dalam era digital, penggunaan simbol budaya pop memainkan peranan penting dalam menstrukturkan makna gerakan dan menarik penyertaan lebih luas, terutama daripada generasi muda.

Simbol One Piece sebagai naratif perjuangan global

Yang paling menonjol dalam kesemua gerakan ini adalah penggunaan bendera One Piece — lambang dari anime Jepun yang kini menjadi ikon perlawanan (resistances) global.

PENUNJUK perasaan mengambil bahagian dalam protes menentang projek kawalan banjir palsu di Manila 21 September lalu. Foto AFP

Dalam konteks budaya, ini menandakan penyatuan naratif kolektif iaitu seolah-olah rakyat melihat diri mereka sebagai ‘lanun’ yang melawan sistem yang menindas dan tidak adil.

Simbol ini membawa makna kebebasan, perlawanan, keberanian, impian dan solidariti. Dalam konteks Indonesia, pengibaran bendera ini menjadi bentuk ekspresi kritik sosial dan protes simbolik terhadap ketidakadilan dan penindasan.

Ia membantu menggambarkan perjuangan kompleks dalam bentuk yang mudah difahami dan dikongsi. Dalam dunia digital, bendera One Piece menjadi meme, poster dan bahan visual yang memberi tenaga emosional dan estetik kepada protes.

Budaya Pop Sebagai Ejen Perubahan

Konstruktivisme budaya menunjukkan bahawa protes tidak semestinya didorong oleh ideologi formal atau parti politik. Sebaliknya, budaya popular menjadi ruang baru untuk politik.

Dalam kalangan belia, anime seperti One Piece mengandungi naratif perjuangan menentang autoritarianisme, keadilan sosial dan kesetiaan terhadap kebenaran — selari dengan semangat gerakan ini.

Dengan cara ini, bendera One Piece bukan sahaja alat komunikasi, tetapi media pembentukan identiti politik generasi baru — yang tidak lagi bergantung kepada wacana formal, tetapi kepada simbolisme yang merentas sempadan.

Kesimpulan: Satu Dunia, Satu Suara?

Berdasarkan analisis empat gerakan sosial ini menggunakan teori gerakan sosial membuktikan bahawa perubahan politik dan sosial bukanlah sekadar akibat kemarahan spontan, tetapi hasil daripada pengurusan sumber, kepekaan terhadap peluang politik dan kekuatan budaya dalam membentuk makna dan solidariti.

Gerakan ini menunjukkan bahawa rakyat, khususnya generasi muda, semakin bijak menggunakan teknologi, simbol dan naratif budaya untuk menuntut hak mereka.

Perkara ini mencerminkan satu transformasi dalam sifat gerakan sosial kontemporari, daripada yang terhad dalam ruang nasional, kepada yang berfungsi dalam ekosistem global dan digital.

Bendera One Piece, walaupun berasal dari dunia fiksyen, telah menjadi nyata — menjadi peringatan bahawa apabila sistem gagal, budaya menjadi senjata, dan jalan raya menjadi pentas demokrasi.

Demikian seolah-olah peristiwa ini dibaca apabila melihat daripada perspektif teori gerakan sosial.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Minggu Perpaduan 1964, ketika Indonesia lancar kempen Ganyang Malaysia
Next: PRN: Undi belia simbol harapan masa depan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.