
KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin Dr Kelvin Yii Lee Wuen iaitu George Lam, menggesa Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengambil tindakan segera bagi menangani masalah infestasi tikus dan tahap kebersihan yang didakwa tidak memuaskan di Pusat Penjaja Kenyalang.
Lam berkata, beliau mengadakan lawatan ke pusat penjaja itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong, selepas menerima aduan daripada penjaja dan pelanggan mengenai keadaan kebersihan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan maklum balas daripada penduduk dan penjaja, masalah tikus dipercayai berpunca daripada kawasan lereng bukit di belakang pusat penjaja yang dipenuhi lubang tikus dan menjadi tempat pembiakan haiwan perosak itu.
Beliau turut menyaksikan sendiri tikus sebesar lengan manusia keluar mencari sisa makanan ketika lawatan tersebut.
“Tikus ini langsung tidak takut kepada orang ramai dan terus mencari makanan walaupun kawasan itu dipenuhi pelanggan. Ini jelas menunjukkan masalah ini masih belum ditangani dengan berkesan,” katanya.
Lam berkata, para penjaja memaklumkan masalah itu telah berlarutan sejak sekian lama walaupun aduan telah berulang kali dikemukakan kepada pegawai MBKS yang bertanggungjawab.
Katanya, keadaan itu menimbulkan risiko kesihatan yang serius kepada penjaja dan pelanggan.
Selain masalah tikus, Lam turut mendakwa kontraktor yang dilantik MBKS gagal menyelenggara kebersihan kawasan awam di pusat penjaja itu dengan baik.
Beliau berkata, lantai kawasan berkenaan dipenuhi lumut dan kotoran, manakala kerja pembersihan hanya dilakukan dengan menggunakan air tanpa bahan pencuci, pembasmi kuman atau semburan air bertekanan tinggi.
“Hanya membilas dengan air semata-mata tidak mencukupi. Tanpa penggunaan bahan pencuci dan pembasmi kuman yang sesuai, sukar untuk mencapai tahap kebersihan yang memuaskan,” katanya.
Lam turut mempersoalkan bagaimana MBKS boleh mengharapkan pengusaha makanan mematuhi piawaian kebersihan jika pusat penjaja yang diuruskan sendiri berada dalam keadaan sedemikian.
Beliau juga mengkritik sistem penarafan kebersihan premis makanan MBKS dan mendakwa, berdasarkan keadaan semasa, Pusat Penjaja Kenyalang layak diberikan gred “F”.
Lam menggesa MBKS memandang serius aduan yang dibangkitkan serta melaksanakan penambahbaikan segera supaya penjaja dapat menjalankan perniagaan dalam persekitaran yang bersih, manakala pelanggan pula dapat menjamu selera dengan lebih selesa.
Beliau turut menggesa Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, memberi keutamaan kepada usaha menyelesaikan masalah kebersihan yang telah lama berlarutan di pusat penjaja tersebut.
Lam berkata, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri perlu sentiasa terbuka terhadap semakan awam serta mekanisme semak dan imbang.
Beliau menegaskan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak akan terus memantau prestasi pihak berkuasa awam bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.
Oleh Connie Chieng