SIBU: George Kent (Malaysia) Berhad memupuk kerjasama dalam pembangunan modal insan dan aktiviti berkaitan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Sarawak (UTS), hari ini.
Majlis menandatangani perjanjian itu adalah antara Pengarah Eksekutif George Kent Bernie Ooi Chin Khoon dan Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Pengurus Besar George Kent Yap Cheng Leung dan Timbalan Naib Canselor (Akademik) UTS Profesor Ir Dr Mohd Shahril Osman. MoU itu akan berkuat kuasa dari tarikh pelaksanaannya untuk tempoh tiga tahun.
Menerusi MoU itu, Ooi berkata, kedua-dua pihak menyasar untuk bekerjasama dalam pembangunan dan menjalankan program latihan akademik, profesional dan industri, pertukaran pengetahuan teknikal dan nasihat, menjalankan aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengajaran bersama serta, bersama-sama mengambil bahagian dalam penambahbaikan dan penyampaian kursus.
“Sebagai pemain industri terkemuka dalam perniagaan meter air, George Kent akan menggabungkan kepakarannya dengan UTS untuk mereka bentuk dan menyampaikan program latihan komprehensif.
“Ini merangkumi latihan praktikal dan lapangan dengan pengalaman kerja menangani keperluan industri yang semakin berkembang,” jelasnya ketika ditemui pemberita sebelum majlis menandatangani perjanjian itu, petang tadi.
Katanya, inisiatif ini akan merapatkan jurang antara pengetahuan teori dan aplikasi praktikal, memperkasakan graduan dengan kemahiran yang diperlukan untuk cemerlang dalam kedua-dua industri air dan bidang kejuruteraan.
Sementara itu, Dr Khairuddin berkata, kerjasama universiti dan industri penting untuk pendedahan dan pengalaman khususnya kepada pelajar praktikal berhadapan dengan dunia sebenar melibatkan bidang kejuruteraan dan teknikal.
“Ini untuk merapatkan jurang antara pemahaman akademik dan kemahiran praktikal. Walaupun Sibu sedang membangun dan maju dengan baik, namun kehadiran pemain industri utama masih lagi diingini.
“Oleh itu, UTS perlu mengambil pendekatan proaktif untuk mewujudkan dan melibatkan diri dengan rakan industri di tempat lain.
“Justeru, kami amat bersyukur dan berbesar hati mendapat peluang ini untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat kejuruteraan terkenal, iaitu George Kent (Malaysia) Berhad,” ujarnya.
Beliau percaya perkongsian ini boleh membawa kepada inovasi dan penemuan teknologi baharu yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.
“Melalui bekerjasama ini, UTS dan George Kent boleh bersama-sama mereka bentuk kursus atau modul latihan yang disesuaikan dengan keperluan George Kent untuk program pembangunan kakitangannya.
“Kami juga boleh bekerjasama untuk membangunkan program profesional khusus untuk pelajar tahun akhir kami supaya mereka mempunyai kemahiran teknikal dan insaniah yang diperlukan oleh majikan,” ujarnya lagi.
Oleh AKUN GIMAN