
HOLLYWOOD, Amerika Syarikat: George Clooney membawakan watak seorang pelakon yang menelusuri masa lalunya dalam filem Netflix terbaharu berjudul Jay Kelly.
Namun, dalam kehidupan sebenar, bintang berusia 64 tahun itu lebih gemar menumpukan perhatian terhadap masa depan.
“Saya sebenarnya belum bersedia untuk menoleh ke belakang dan berehat atas pencapaian lalu,” katanya kepada AFP ketika menghadiri tayangan perdana filem berkenaan di Festival Institut Filem Amerika (AFI) di Los Angeles.

Tidak seperti watak utamanya dalam Jay Kelly, yang bakal ditayangkan di pawagam bulan depan, Clooney enggan terlalu mengenang masa silam.
“Saya lebih suka melihat ke hadapan dan menantikan apa yang bakal tiba,” ujarnya.
Diarahkan oleh Noah Baumbach, Jay Kelly mengisahkan krisis emosi yang dihadapi seorang pelakon selepas lebih tiga dekad bergiat dalam industri.
Terobsesi untuk memperbaiki hubungannya dengan anak-anak perempuannya, watak lakonan Clooney membawa pengurusnya (lakonan Adam Sandler) dan ejen medianya (lakonan Laura Dern) dalam satu perjalanan ke Eropah.
Sepanjang perjalanan itu, dia merenung kesunyian, kesilapan masa lalu, serta harga yang perlu dibayar demi kejayaan.
“Saya cukup bernasib baik kerana tidak seburuk watak saya. Saya mempunyai rakan-rakan baik dan orang yang saya sayangi,” kata Clooney mengenai wataknya. “Saya tidak berasa terasing seperti dirinya.”
Sandler, 59, pula berkata filem ini menawarkan pandangan menarik tentang perjalanan masa dan bagaimana seorang pelakon seperti dirinya “semakin tua di depan kamera.”

Namun jelasnya, “Saya tidak menoleh ke belakang menyesali kerja yang tidak sempat dilakukan. Sebaliknya, saya sedar masa terus berlalu, jadi kita harus memanfaatkannya bukan hanya untuk filem, tetapi juga untuk keluarga dan perkara penting lain.”
“Jika kita menghasilkan filem, biarlah ia sesuatu yang membawa kegembiraan kepada orang ramai,” tambahnya.
Jay Kelly akan mula ditayangkan di Netflix pada 5 Disember. Festival AFI pula berlangsung di Hollywood hingga Ahad ini. – AFP