
BINTANGOR: Generasi muda diseru supaya terus memelihara warisan budaya agar identiti masyarakat Dayak tidak hilang ditelan arus pemodenan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, generasi muda merupakan pewaris utama adat, budaya dan tradisi masyarakat Dayak yang perlu terus dipertahankan.
“Kepada generasi muda, kamulah pewaris segala ini. Bukan beban, tetapi satu keistimewaan yang tidak ternilai.
“Apabila kamu menari ngajat, apabila kamu fasih bertutur dalam bahasa Iban atau Bidayuh, apabila kamu tahu makna di sebalik setiap ritual Gawai, kamu sedang menjaga api yang diwarisi turun-temurun agar tidak padam,” katanya ketika berucap pada majlis pra-Gawai Dayak 2026 anjuran Persatuan Tuai-Tuai Rumah Daerah Meradong di Dewan Christus Lumen Mundi, baru-baru ini.
Katanya, sambutan Hari Gawai bukan sekadar acara makan malam atau penutup musim menuai, sebaliknya menjadi simbol kesyukuran, perpaduan dan kekuatan komuniti masyarakat Dayak.
“Malam ini, kita bukan sekadar berkumpul untuk makan malam, kita berkumpul sebagai satu keluarga besar yang menghargai warisan dan menyemai semangat kebersamaan.

“Kehadiran setiap seorang daripada anda malam ini mencerminkan semangat kekitaan kita masih utuh dan kuat,” katanya.
Tambahnya, sambutan tersebut turut menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memperkukuhkan perpaduan masyarakat.
“Inilah masanya pintu rumah panjang dibuka seluas-luasnya, inilah masanya anak saudara yang jauh pulang ke pangkuan keluarga.
“Kebersamaan inilah yang menjadikan Gawai begitu istimewa,” katanya lagi.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berharap semangat Hari Gawai terus diwariskan kepada generasi akan datang agar nilai perpaduan, kesyukuran dan keharmonian masyarakat terus kekal subur.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pendekatan kepimpinan inklusif yang sentiasa menitikberatkan kepentingan semua kaum di Sarawak.
Pada majlis sama, beliau menyumbangkan sebanyak RM40,000 kepada Persatuan Tuai-Tuai Rumah Daerah Meradong untuk kegunaan aktiviti tahunan.
Oleh Earl Anek