Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Generasi muda Sarawak perlu hayati sejarah, warisi semangat perjuangan
  • TEMPATAN

Generasi muda Sarawak perlu hayati sejarah, warisi semangat perjuangan

Utusan Sarawak 7 hours ago
WONG Soon Koh (lima dari kanan) memotong kek bersama tetamu kehormat yang lain sempena sambutan Hari Sarawak hari ini. Foto: Tarani Lanting

SIBU: Generasi muda Sarawak digesa agar mengenali sejarah negeri dan menghayati semangat perjuangan serta perpaduan dalam usaha memajukan Bumi Kenyalang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, pemahaman sejarah dan kebanggaan terhadap asal usul sahaja tidak mencukupi, sebaliknya perlu disertai dengan tanggungjawab untuk terus memajukan negeri ini.

“Kepada generasi muda, saya menggesa anda untuk mengenali sejarah kamu. Banggalah dengan asal usul kamu. Tetapi lebih daripada itu, galaslah tanggungjawab untuk memajukan Sarawak. Jangan hanya mewarisi tanah ini, warisilah juga semangat perjuangan, perpaduan dan dorongan untuk cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Sarawak anjuran Parti Demokratik Progresif (PDP) Bawang Assan di sebuah hotel terkemuka, hari ini.

SERAMAI 11 Ketua Masyarakat Batang Igan telah menerima sijil pelantikan pada majlis sambutan Hari Sarawak anjuran Parti Demokratik Progresif (PDP) Bawang Assan di sebuah hotel terkemuka, hari ini. Foto: Tarani Lanting

Majlis turut dihadiri pimpinan tertinggi PDP, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan 105 tuai rumah dalam kawasan Bawang Assan.

Menurutnya, sambutan 22 Julai bukan sekadar memperingati tarikh Sarawak memperoleh pemerintahan sendiri daripada British pada tahun 1963, tetapi juga sebagai satu detik renungan dan penghargaan terhadap perjuangan para pemimpin terdahulu serta rakyat yang membina negeri ini.

“Hari Sarawak bukan sekadar satu tarikh atau cuti umum. Ia adalah masa untuk kita merenung, menghargai dan memperkukuh perpaduan,” katanya.

Beliau turut menekankan kekuatan perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi ciri istimewa Sarawak yang dihuni oleh masyarakat berbilang etnik seperti Iban, Cina, Melayu, Melanau, Bidayuh dan Orang Ulu.

“Perpaduan dalam kepelbagaian ini adalah antara kekuatan terbesar kita dan ia harus terus kita pelihara dan lindungi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Wong berkata Sarawak mempunyai kedudukan istimewa dalam pembentukan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan ia perlu terus diperkasakan.

“Pada hari bersejarah ini, marilah kita sekali lagi mempertegaskan hak kita sebagai anak Sarawak. Hak untuk menentukan keutamaan pembangunan kita, hak untuk menikmati hasil sumber kita sendiri dan hak untuk melindungi kepentingan rakyat kita,” tambahnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang telah memainkan peranan besar dalam memperkukuh kedudukan dan masa depan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

“Premier Sarawak telah menterjemahkan semangat Sarawak kepada dasar dan iltizam politik demi kemajuan melalui pemerkasaan ekonomi, penegasan hak undang-undang dan perancangan strategik masa hadapan.

“Marilah kita berdiri teguh bersama, bekerjasama seiring sejalan dan melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan sebagai anak Sarawak yang bangga dan beriltizam,” katanya.

Oleh Tarani Lanting

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: JPJ Sarawak kukuhkan pelaksanaan bantuan MyLesen B2 di Miri
Next: Pemimpin akar umbi tulang belakang pembangunan luar bandar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.