SARIKEI: Keharmonian keluarga dan kecemerlangan pendidikan perlu dibina seiring dengan memastikan nilai menghormati warga emas terus diwarisi generasi muda.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, keluarga yang harmoni serta kebijaksanaan golongan lebih tua merupakan antara asas penting dalam membentuk masyarakat yang kukuh.
“Majlis ini bukan sahaja untuk meraikan perayaan dan mengeratkan hubungan, tetapi juga menunjukkan nilai menghormati warga emas serta kepentingan pendidikan yang perlu diteruskan kepada generasi seterusnya.
“Saya percaya asas masyarakat yang kukuh bermula daripada keluarga yang harmoni dan kebijaksanaan golongan lebih tua.
“Pendidikan pula penting untuk membantu generasi muda mencapai masa depan yang lebih baik,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika menghadiri majlis sambutan Perayaan Kuih Bulan, Penghargaan Warga Emas dan Anugerah Pelajar Cemerlang anjuran Persatuan Klan Huang Sarawak, baru-baru ini.
Katanya, beliau terharu dapat bersama-sama masyarakat meraikan Perayaan Kuih Bulan, selain menyaksikan pelajar cemerlang menerima penghargaan atas kejayaan masing-masing.
“Setiap keluarga perlu membina suasana yang berteraskan sikap saling menghormati, mengambil berat dan berkembang bersama tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang keluarga.
“Justeru, saya berharap Persatuan Klan Huang Sarawak terus menganjurkan program seumpama itu bagi memastikan nilai menghormati ibu bapa dan warga emas dapat diteruskan, selain menjadi wadah menggalakkan lebih ramai pelajar mengejar kecemerlangan pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu, Tiong Sii merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinannya dalam memajukan sektor pendidikan dan kebudayaan di negeri ini.
“Di bawah kepimpinan beliau, sektor pendidikan dan kebudayaan Sarawak terus berkembang.
“Anak-anak Sarawak juga mempunyai peluang mendapatkan pendidikan yang lebih baik, persekitaran yang lebih sempurna serta peluang pembangunan yang lebih luas,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Pelajar Cemerlang serta menghargai jasa dan pengorbanan warga emas yang selama ini banyak memberikan tunjuk ajar kepada generasi muda.
Tambahnya, penghargaan kepada warga emas dan pengiktirafan terhadap pencapaian pelajar membawa mesej mengenai pentingnya kesinambungan nilai, pengalaman dan ilmu antara generasi dalam membangunkan masyarakat.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM40,000 kepada Persatuan Klan Huang Sarawak bagi meneruskan usaha menghargai warga emas serta menggalakkan kecemerlangan pendidikan dalam kalangan generasi muda.
Oleh Earl Anek




