
MIRI: Perayaan yang meraikan budaya unik masyarakat Kenyah Badeng memainkan peranan penting dalam membina identiti nasional yang kukuh.
Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man berkata, acara seperti Pesta Persatuan Kenyah Badeng Sarawak (KEBANA) bukan sekadar persembahan atau pameran.
“Ia mencerminkan penghargaan mendalam masyarakat terhadap warisan budayanya.
“Ini merupakan satu platform untuk menghormati budaya Kenyah Badeng sambil menghimpunkan rakyat semua peringkat umur melalui semangat ‘segulai sejalai’ perpaduan dan kebersamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Malam Kebudayaan Pesta KEBANA di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, beliau menggesa usaha lebih besar untuk memastikan elemen masyarakat Kenyah Badeng ini diturunkan kepada generasi akan datang.
“Anak muda, bukan sahaja dari Kenyah Badeng tetapi dari semua masyarakat, mesti memainkan peranan mereka dalam mengekalkan budaya masing-masing.
“Orang tua kita telah bekerja keras untuk memelihara bahasa, adat resam dan identiti kita dan kini sudah tiba masanya generasi muda meneruskannya, supaya ia tidak pudar,” katanya.
Sehubungan itu, kepelbagaian budaya Malaysia yang kaya terutamanya di Sarawak adalah sebahagian daripada identiti dan kekuatan negara.
“Daripada pertandingan kebudayaan, anugerah akademik dan aktiviti lain, festival itu menunjukkan budaya adalah sesuatu yang berkembang.
“Sebagai Ahli Parlimen Miri, saya amat menyokong inisiatif seperti ini kerana saya percaya pertumbuhan peribadi mesti dipadankan dengan pembangunan budaya,” tegasnya lagi.
Justeru itu, festival yang berlangsung dari 31 Mei hingga 2 Jun itu menampilkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan bola sepak dan badminton, pertandingan tarian panjang dan tarian solo, pertandingan ratu cantik dan anugerah kecemerlangan akademik untuk anak-anak Kenyah Badeng yang cemerlang dalam peperiksaan tahun lalu.
Oleh Adum Liu