
KOTA SAMARAHAN: Golongan muda disaran untuk lebih berwaspada terhadap risiko kewangan digital yang semakin ketara dalam dunia moden hari ini.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, transaksi kewangan masa kini banyak berlaku melalui platform digital, sekali gus mendedahkan pengguna kepada penipuan siber, kecurian data dan komitmen hutang tanpa sedar.
“Justeru, literasi kewangan perlu dipertingkat supaya graduan lebih bersedia menghadapi cabaran kewangan sebenar selepas memasuki alam pekerjaan.
“Dalam dunia digital, wang dan risiko tidak dapat dipisahkan. Tanpa ilmu yang betul, anak muda mudah terjebak dalam masalah kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Konvensyen Kewangan Graduan Sarawak 2025 bertemakan ‘Wang dan Risiko dalam Era Digital’ di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini hari ini.
Beliau mengulas lanjut, Kajian Keupayaan dan Rangkuman Kewangan BNM 2024 menunjukkan indeks literasi kewangan negara masih pada tahap 59 peratus, manakala 61 peratus rakyat Malaysia tidak mampu menyediakan RM1,000 untuk kecemasan.
“Situasi ini, membuktikan keperluan mendesak untuk memperkukuhkan pengetahuan kewangan dalam kalangan generasi muda.
“Peningkatan penggunaan kemudahan Buy Now, Pay Later (BNPL) dalam kalangan pelajar sering dianggap mudah, namun ia boleh membawa kepada hutang mikro berulang jika tidak digunakan secara berdisiplin.
“BNPL hanya selamat jika pengguna memahami komitmen hutang yang mereka tanggung. Jika tidak dikawal, ia boleh membebankan kewangan,” jelasnya.
Beliau dalam pada itu menghargai komitmen Prudential sejak 2014 dalam menyampaikan pendidikan kewangan kepada belia dan komuniti luar bandar.
“Usaha berterusan Prudential menyokong agenda kerajaan dalam melahirkan generasi celik kewangan dan berdaya tahan digital.
“Saya menggesa pelajar memanfaatkan peluang pembelajaran melalui konvensyen tersebut bagi meningkatkan kemahiran kewangan mereka.

“Gunakan teknologi untuk mengurus kewangan, bukan sehingga terperangkap dengan hutang. Ilmu kewangan memberi kuasa kepada kita untuk mengawal masa depan sendiri,” ujarnya.
Konvensyen anjuran Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) dengan kerjasama Unimas itu menghimpunkan lebih 1,000 pelajar daripada 15 institusi pengajian tinggi di seluruh Sarawak.
Konvensyen tersebut menjadi platform penting untuk merapatkan jurang literasi kewangan di Sarawak sambil mempersiapkan graduan menghadapi cabaran kewangan era digital.
Oleh Masrin Affirah