KUCHING: Generasi muda perlu meneruskan tradisi membantu antara satu sama lain, terutama apabila ada perayaan keagamaan.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, semangat bantu membantu tanpa mengira latar belakang agama dan budaya sudah diamalkan sejak dahulu lagi dan ia perlu diteruskan oleh generasi muda kini.
“Sudah menjadi tanggungjawab kita dan inilah semangat kita khususnya di Sarawak di mana kita membantu antara satu sama lain. Yang tua menjaga orang muda, yang muda bantu orang tua, yang kaya membantu yang miskin, yang kuat bantu yang lemah.
“Kalau ini dapat kita laksanakan, barulah akan timbul rasa kasih sayang, hormat menghormati dan seterusnya secara sendiri akan timbul semangat untuk tolong menolong antara satu sama lain.
“Kalau ini berlaku, kita akan dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Inilah dikatakan kebahagian dalam kita hidup bersatu padu tanpa mengira latar latar belakang setiap kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program penyampaian sumbangan untuk komuniti Tiong Hua iaitu warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) kawasan Sungai Tengah Matang, hari ini.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petrajaya berkata program penyerahan sumbangan itu adalah acara tahunan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong bersama Parlimen Petrajaya.
Beliau berharap semangat bantu membantu akan menyatupadukan rakyat Sarawak dan memupuk hidup bersama secara aman dalam masyarakat.
Hadir sama isterinya, Datin Sri Ruziah Mohd dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.
Oleh Mohd Neenatul Aizal