SARATOK: Pendidikan perlu diberi keutamaan dalam membentuk generasi muda yang mampu menghadapi cabaran dunia yang semakin berasaskan sains, teknologi dan inovasi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, perkembangan teknologi yang begitu pantas dan dinamik menuntut generasi masa kini supaya sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang relevan.
Menurutnya, generasi muda bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik, malah mesti memiliki disiplin, daya tahan serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
“Kalau kita tidak melengkapkan diri dengan ilmu yang secukupnya, kita akan terus ketinggalan dan tercicir daripada arus pembangunan perdana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saratok 2026 di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Syn Saratok, malam kelmarin.
Friday berkata, pendidikan merupakan asas penting dalam memastikan generasi muda mempunyai persediaan kukuh untuk menghadapi dunia yang semakin mencabar dan kompetitif.
Justeru, katanya, setiap pelajar perlu mengambil peluang yang tersedia untuk meningkatkan pengetahuan, mengasah bakat serta membina jati diri sebagai persediaan melangkah ke peringkat pengajian dan alam pekerjaan.
Beliau turut mengingatkan agar golongan muda tidak mudah menyalahkan pihak lain sekiranya mereka gagal mencapai kejayaan, sebaliknya perlu berusaha memperbaiki kelemahan dan mengambil tanggungjawab terhadap masa depan sendiri.
“Maka kita tidak harus menuding jari dan menyalahkan orang lain. Kita perlu melihat kepada diri sendiri dan berusaha untuk meningkatkan keupayaan serta pencapaian masing-masing,” katanya.
Majlis Apresiasi Kecemerlangan SMK Saratok 2026 diadakan bagi meraikan pelbagai kejayaan yang telah dicapai sekolah berkenaan, khususnya dalam bidang akademik dan kokurikulum termasuk sukan.
Friday turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga SMK Saratok atas komitmen serta usaha berterusan yang telah menyumbang kepada pencapaian dan kecemerlangan sekolah.
Beliau berharap kejayaan tersebut dapat menjadi pemangkin kepada warga sekolah untuk terus berusaha mencapai prestasi lebih baik, selain membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi turut mempunyai sahsiah dan daya saing tinggi.
Turut hadir, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas; Pengetua SMK Saratok, Beritin Empawie; Penguasa Tanah dan Survei Betong, Morris Nayup; Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie; Pengetua SMK Kalaka, Mudie Jantai; barisan guru, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta ibu bapa.
Oleh Adi Safarman




