
SIBU: Kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar perlu dipupuk sejak usia muda bagi memastikan generasi akan datang lebih bersedia menghadapi cabaran perubahan iklim yang semakin ketara di seluruh dunia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, Sarawak Scout Eco-Run 5.0 membantu memupuk gaya hidup sihat dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan belia.
Menurutnya, perubahan iklim bukan lagi isu yang jauh, sebaliknya sedang dirasai masyarakat termasuk di Sarawak melalui cuaca yang semakin panas, hujan tidak menentu, banjir, kemarau serta peningkatan paras laut.
“Perubahan ini bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah memberi kesan kepada ekonomi, kesihatan awam, keselamatan makanan dan kehidupan harian masyarakat.
“Generasi akan datang bakal berdepan cabaran yang lebih besar sekiranya kita tidak mengambil tindakan dari sekarang.
“Justeru, pendidikan dan kesedaran alam sekitar amat penting, terutama dalam kalangan golongan muda kerana setiap tindakan kecil mampu membawa perubahan besar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Sarawak Scout Eco-Run 5.0 Peringkat Daerah Sibu di Taman Tasik Permai, hari ini.
Chieng berkata, amalan seperti mengurangkan penggunaan plastik, mengitar semula, menanam pokok, menjimatkan penggunaan air dan elektrik serta menjaga kebersihan persekitaran merupakan langkah mudah yang boleh diamalkan bagi melindungi bumi.
Beliau turut menggesa ahli pengakap supaya menjadi duta pemuliharaan alam sekitar dengan menerapkan nilai disiplin, tanggungjawab, khidmat masyarakat dan rasa hormat terhadap alam semula jadi.
“Saya berasa amat gembira melihat penyertaan ramai golongan muda dalam program ini. Ini membuktikan generasi muda semakin peka terhadap kepentingan kelestarian dan tanggungjawab menjaga alam sekitar.
“Diharapkan mereka akan terus menjadi contoh kepada rakan-rakan, keluarga dan masyarakat dalam mengamalkan gaya hidup yang lebih mesra alam,” ujarnya lagi.
Tambahnya, program seperti Sarawak Scout Eco-Run turut membantu memupuk perpaduan dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar daripada pelbagai sekolah dan latar belakang.
Beliau mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang berjaya menamatkan larian serta merakamkan penghargaan kepada pemimpin pengakap, guru, sukarelawan, penaja dan ahli jawatankuasa atas komitmen menjayakan program tersebut.
Katanya lagi, kejayaan program itu diharap dapat terus memberi inspirasi kepada lebih ramai golongan muda untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab serta prihatin terhadap masa depan alam sekitar dan komuniti.
Oleh Akun Giman