Generasi muda perlu jadi pemacu pembangunan SEZ Sibu – Dr Annuar

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM…Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee merakam kenangan bersama pelajar yang hadir pada Perhimpunan Silaturahim Pelajar DUN Nangka di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), semalam.

SIBU: Generasi muda perlu memainkan peranan aktif dalam menentukan hala tuju pembangunan Sibu, termasuk menyumbang idea dan aspirasi terhadap pembangunan Zon Ekonomi Sibu (SEZ) yang bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu bandar ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, SEZ yang disokong peruntukan RM1.5 bilion daripada kerajaan Sarawak dirancang bagi menangani pelbagai cabaran sosioekonomi jangka panjang yang dihadapi Sibu.

“SEZ bukan untuk saya. Tugas saya ialah merancang dan melaksanakannya, tetapi manfaatnya adalah untuk anda, generasi muda.

“Sebab itu saya mahu mengetahui apakah harapan dan aspirasi anda terhadap masa depan Sibu,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Silaturahim Pelajar Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka 2026 yang menghimpunkan lebih 1,000 pelajar, di sini, semalam.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu, antara cabaran yang perlu ditangani ialah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, membendung penghijrahan tenaga muda berkemahiran, menangani peningkatan populasi menua, menyediakan perumahan yang mencukupi serta menarik lebih banyak pelaburan.

Katanya, Sibu suatu ketika dahulu berkembang pesat menerusi industri perkayuan yang menjana kekayaan serta menyediakan banyak peluang pekerjaan, namun sektor berkenaan kini mengalami kemerosotan.

Justeru, katanya, Sibu perlu melaksanakan transformasi ekonomi dengan mewujudkan aktiviti ekonomi baharu yang mampu menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada generasi muda.

“Kita perlu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan supaya anak-anak muda dapat terus menetap dan bekerja di Sibu selepas menamatkan pengajian.

“Kita juga mahu mengurangkan penghijrahan bakat kerana Sibu memerlukan golongan berpendidikan dan berkemahiran untuk membangunkan bandar ini,” katanya.

Dr Annuar berkata, kadar pertumbuhan penduduk Sarawak yang lebih perlahan daripada jangkaan turut menyumbang kepada peningkatan populasi menua, sekali gus menjadikan usaha menarik pelaburan, meningkatkan pendapatan isi rumah dan mengurangkan kemiskinan bandar semakin penting.

Menurutnya, cadangan pembangunan SEZ dirangka bagi menangani cabaran tersebut secara menyeluruh dan tersusun, sekali gus mewujudkan asas ekonomi yang lebih kukuh untuk generasi akan datang.

Dalam pada itu, beliau menggesa golongan pelajar supaya sentiasa mengambil tahu tentang dasar kerajaan, khususnya inisiatif yang bakal memberi manfaat kepada mereka pada masa hadapan.

“Tanggungjawab pemimpin ialah menggubal dasar, tetapi pelajar juga mempunyai tanggungjawab untuk memahami, menilai dan menyumbangkan idea agar dasar tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Beliau turut menyifatkan sambutan luar biasa terhadap perhimpunan itu sebagai bukti bahawa golongan muda mempunyai minat untuk mengetahui perkembangan serta hala tuju pembangunan Sibu.

Sementara itu, Dr Annuar mendedahkan Pusat Khidmat DUN Nangka telah menyalurkan bantuan pendidikan berjumlah RM757,500 kepada 1,515 pelajar sepanjang tempoh 2022 hingga 2025.

Katanya, bantuan itu diberikan secara sama rata kepada pelajar tahun pertama yang melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam, politeknik dan institusi pengajian tinggi tanpa mengira institusi yang dipilih.

“Kita mahu setiap pelajar yang layak menerima insentif yang sama bagi membantu mereka melanjutkan pengajian. Maklumkan kepada rakan-rakan di kawasan DUN Nangka bahawa kita akan terus membantu pelajar tahun pertama sedaya upaya,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menggalakkan pelajar menamatkan pengajian dengan cemerlang serta mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan mereka kekal berdaya saing.

Beliau turut menyeru anak-anak Sibu yang melanjutkan pengajian atau membina kerjaya di luar supaya kembali dan menyumbang kepakaran kepada pembangunan bandar itu.

“Lebih penting, kembalilah untuk membantu rakyat dan masyarakat Sibu. Anda mempunyai peranan penting dalam membangunkan bandar ini demi generasi akan datang,” katanya.

Oleh Tarani Lanting