
MIRI: Generasi muda perlu diberi pemahaman jelas mengenai dua tarikh bersejarah yang membentuk identiti rakyat negeri ini iaitu 22 Julai, Hari Sarawak dan 16 September, Hari Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, kedua-dua tarikh itu merupakan titik penting dalam perjalanan negeri dan negara yang wajar dihargai oleh semua lapisan masyarakat.
Jelasnya, rakyat Sarawak perlu berbangga kerana menjadi sebahagian daripada usaha membina negara ini.
“Bersama-sama, kita memikul tanggungjawab untuk memastikan Malaysia terus kuat, bersatu dan makmur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program sambutan Hari Malaysia anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pulau Melayu dan Kampung Hj Wahed dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JaPen) di sini, semalam.
Program berkenaan disertai penduduk setempat dengan pelbagai aktiviti berunsurkan perpaduan dan semangat kebangsaan.
Oleh Liong Chai Ling