
NIAH: Kehadiran dan penyertaan generasi muda dalam dunia persilatan amat dialu-alukan bagi memastikan kesinambungan warisan seni mempertahankan diri ini terus terpelihara.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, penglibatan anak muda sangat penting kerana merekalah bakal pemimpin pada masa hadapan.
“Generasi muda adalah pengganti pemimpin kelak, maka penyertaan mereka dalam dunia persilatan amat diperlukan,” katanya pada Majlis Perasmian Dewan Silat Kampung Padang, Sepupok Niah semalam.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menambah, aspek disiplin menjadi teras utama dalam latihan persilatan dan mampu membentuk keperibadian serta hala tuju anak-anak.

“Dengan disiplin, insya-Allah anak-anak kita akan terpandu dan masa depan mereka lebih jelas. Itu yang kita mahukan.
“Pada mereka inilah terletaknya masa depan kita, sebab itu kita perlu mengasuh dan membimbing mereka dengan baik,” tegasnya lagi.
Beliau turut menzahirkan harapan agar lebih ramai belia tampil menyertai persatuan silat bagi memastikan warisan seni budaya terus diperkasakan.
Pada masa yang sama, Rosey turut mengumumkan peruntukkan RM10,000 untuk menambahbaik dewan tersebut.
Turut hadir, Penghulu Dr. Wan Fauzi, Penghulu Pui Kuan Phen, Penghulu Epat Bakar, Naib Presiden II Rumpun Silat Sarawak Ismawi Kadri, Pengerusi Rumpun Silat Sarawak Wilayah Miri Madun Sulong dan Penaung Pengurusan Seni Silat Sendeng Spring Segerdam 12 Niah Anuar Musa.
Oleh Adum Liu