
KOTA SAMARAHAN: Seramai 300 penerima di sekitar kawasan Muara Tuang menerima manfaat menerusi Program Kembali ke Sekolah dan Agihan Beg Sekolah anjuran Generasi 16 (GEN 16) yang diadakan di Kampung Endap, di sini, sebagai usaha meringankan beban keluarga memerlukan dalam membuat persiapan persekolahan.
Program yang telah dianjurkan sejak beberapa tahun lalu itu memasuki penganjuran kali keempat bagi GEN 16, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pertubuhan tersebut terhadap kebajikan komuniti setempat.
Selain agihan beg sekolah, program berkenaan turut dimeriahkan dengan perkhidmatan gunting rambut percuma sebagai antara inisiatif sokongan bagi memastikan kanak-kanak bersedia menyambut sesi persekolahan.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Pengerusi GEN 16 merangkap Ketua Pemuda Muara Tuang, Mohamad Azri Johari, sebagai simbol sokongan terhadap usaha kebajikan serta pembangunan pemuda dan belia di kawasan berkenaan.

Mohamad Azri berkata, program tersebut merupakan antara inisiatif tahunan GEN 16 bagi memastikan kebajikan masyarakat, khususnya golongan kurang berkemampuan, terus diberi perhatian.
“Program Kembali ke Sekolah ini bukan sekadar menyampaikan bantuan fizikal, tetapi bertujuan menyuntik semangat dan keyakinan kepada anak-anak agar mereka dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih selesa dan bersemangat,” katanya.
Beliau menegaskan, kejayaan penganjuran program itu adalah hasil kerjasama erat antara pemuda, sukarelawan serta sokongan padu komuniti setempat yang sentiasa prihatin terhadap keperluan masyarakat.
“Kami di GEN 16 komited untuk meneruskan program kebajikan seumpama ini pada masa akan datang sebagai platform pembangunan pemuda dan usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti di kawasan N16,” katanya.
Turut hadir memeriahkan program ialah barisan kepimpinan pemuda, sukarelawan GEN 16 serta ibu bapa yang bersama-sama menjayakan inisiatif berkenaan dalam suasana penuh kemesraan dan semangat kekitaan komuniti setempat.
Inisiatif itu bukan sahaja memberi kelegaan kepada keluarga berpendapatan rendah, malah mencetuskan kegembiraan dalam kalangan kanak-kanak untuk memulakan sesi persekolahan dengan kelengkapan lebih sempurna dan keyakinan diri yang tinggi.
Oleh Norman B